Adakah UMNO sudah sedia bertanding atas tiket UMNO? - Azalina

 Azalina Othman Said
Azalina Othman Said
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Adakah sudah tiba masanya UMNO bertanding atas tiket UMNO pada pilihan raya akan datang atau masih lagi di bawah bendera Barisan Nasional (BN)?".

Itu persoalan yang dilontarkan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said susulan parti itu kini berdepan penolakan orang Melayu pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu.

Selain itu beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang melihat berlaku perselisihan dalaman yang meletus antara kepimpinan parti komponen BN sejak berakhir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

"Memang mudah untuk mendesak Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) mengundur (sedangkan) BN adalah satu institusi. Kenapa segalanya diletakkan di bahu pengerusi walhal bukan pengerusi yang bertanding pada PRN lalu.

"Paling penting sebenarnya dalam mana-mana pilihan raya, formula kemenangan ambil kira faktor calon, pengundi serta cabaran. Apa yang perlu kita ubah bukan presiden tetapi cara bagaimana kita bekerja dan menggerakkan kempen kita," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, antara cabaran utama yang UMNO dan BN masih ketinggalan ialah peperangan saraf di platform digital memandangkan pendekatan konvensional bersemuka tidak lagi menjadi tunjang utama kempen.

Beliau menjelaskan, ahli perlu faham dan akur bahawa parti menghadapi defisit pengetahuan dan penguasaan platform digital ketika pihak lawan berbelanja tanpa had menggunakan media sosial bagi mempengaruhi pengundi.

"Kita tidak ada peraturan mahupun undang-undang yang boleh menyekat propaganda tanpa had pihak lawan menggunakan dana yang begitu banyak di platform digital kerana penyedia platform berpengkalan di luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Melangkah ke hadapan, BN perlu bersedia untuk berubah menjadi parti yang lebih mahir dan memiliki pengetahuan menguasai teknologi digital dan Kerajaan Perpaduan juga perlu bersedia dengan penguasaan perang saraf di platform digital.

"Adalah penting untuk saya tegaskan, gabungan ini bukanlah satu kesatuan yang sempurna namun ada ruang untuk pembaikan dan yang pasti, Kerajaan Perpaduan ini dibina dengan mencari titik persamaan iaitu demi agama, bangsa dan negara," jelasnya.

Sementara itu Azalina berkata, beliau membaca dengan teliti semua pandangan dan teguran yang dilontarkan semua pihak, sama ada dari dalam parti mahupun luar parti sejak UMNO-BN mengalami kekalahan pada PRN lalu.

Menurut beliau, itulah amalan demokrasi dalam parti yang mana setiap ahli boleh memberi pandangan tetapi demokrasi juga memperlihatkan ada calon kalah dan menang dalam pilihan raya.

"Memang mudah untuk menuding jari terutama apabila kita kalah. Dalam pilihan raya, kalah satu undi tetap kalah dan menang satu undi, tetap menang. Mungkin kita boleh beri contoh, jika kita kalah ketika bertanding untuk jawatan Yang Dipertua PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), usahlah kita bakar dan runtuhkan sekolah.

"Ada parti politik bermula di tangga mahkamah dan ada yang masih di tangga mahkamah, malah bertahun bergolak dengan pihak keselamatan, namun ahlinya tetap teguh merapatkan saf serta berterusan meletakkan keyakinan terhadap pemimpin mereka," ujarnya.