Akta lebih berat tangani sabotaj infrastruktur telekomunikasi - Mohd Azlan

Mohd Azlan (tiga dari kanan) ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Integriti dan Keselamatan Rangkaian Negeri Perak sebelum ini.
Mohd Azlan (tiga dari kanan) ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Integriti dan Keselamatan Rangkaian Negeri Perak sebelum ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak akan menggunakan peruntukan undang-undang lebih tegas di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi menangani isu vandalisme serta sabotaj infrastruktur telekomunikasi yang semakin membimbangkan di negeri ini.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, langkah itu diambil susulan peningkatan kes kecurian kabel, lurang terbuka dan kerosakan infrastruktur komunikasi yang bukan sahaja melibatkan Telekom Malaysia (TM), malah hampir semua syarikat telekomunikasi di negeri berkenaan.

Menurutnya, akta tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan berdasarkan pindaan pada tahun 2024.

"Kita mahu tegaskan bahawa vandalisme terhadap infrastruktur telekomunikasi bukan sekadar kecurian biasa, tetapi mempunyai unsur sabotaj terhadap negeri dan negara kerana ia menjejaskan kesalinghubungan masyarakat serta liputan internet.

"Susulan itu juga kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Integriti dan Keselamatan Rangkaian Negeri Perak yang melibatkan pelbagai agensi,” katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Mohd Azlan berkata, jawatankuasa tersebut dianggotai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Perak selaku sekretariat, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Digital Perak Corporation Holdings, polis, TM dan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Katanya, jawatankuasa itu akan bermesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun, manakala sekretariat akan bergerak secara berterusan bagi memantau isu berkenaan.

“Kita kini menunggu laporan penuh daripada semua syarikat telekomunikasi mengenai jumlah kerugian, kes kecurian dan kerosakan infrastruktur di seluruh Perak.

“Daripada mesyuarat pertama, kita dapati bukan hanya TM terjejas, tetapi hampir semua telco termasuk CelcomDigi, Maxis dan U Mobile dengan kerugian mencecah jutaan ringgit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azlan berkata, terdapat juga banyak kes melibatkan vandalisme tanpa unsur kecurian apabila kabel gentian optik sengaja dipotong atau dirosakkan sehingga menyebabkan gangguan internet di beberapa kawasan.

Menurutnya, aduan berkaitan kejadian itu diterima hampir setiap hari, terutama melibatkan infrastruktur milik TM.

“Kadangkala lurang dibuka tetapi tiada kabel dicuri kerana kabel sudah tiada, namun keadaan itu tetap membahayakan orang ramai.

“Saya juga telah menggesa semua telco supaya lebih proaktif dengan menyemak dan memperkemas semula tahap keselamatan infrastruktur masing-masing termasuk memastikan lurang yang terbuka ditutup segera,” katanya.

Tambah beliau, satu kempen pencegahan vandalisme infrastruktur komunikasi akan dilaksanakan di peringkat negeri pada awal Julai depan bagi meningkatkan kesedaran awam.

Katanya, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui saluran sedia ada seperti talian bantuan TM, laporan polis atau portal MCMC, termasuk menyerahkan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu pendakwaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!