24.62 juta topeng muka percuma dalam proses edaran

Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan melalui Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini dalam proses mengedarkan sebanyak 24.62 juta topeng muka kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) di seluruh negeri untuk diagihkan secara percuma kepada rakyat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, bagi Sabah dan Sarawak termasuk Labuan pula, topeng muka tersebut akan dihantar melalui penerbangan khas Tentera Udara Diraja Malaysia ((TUDM) Jumaat ini.

“Seperti yang diumumkan bahawa kerajaan akan agihkan topeng muka secara percuma iaitu empat keping kepada setiap isi rumah seluruh negara dan ingin saya tegaskan di sini bahawa topeng muka ini bukan hasil sumbangan tetapi kerajaan membelinya sendiri.

“Proses pengedaran oleh APM kepada MKN negeri sedang giat dilakukan dan ada sesetengahnya telah sampai ke daerah untuk diberikan kepada jawatankuasa pengurusan bencana. Melalui jawatankuasa itu topeng muka tersebut akan diagihkan ke rumah-rumah oleh petugas barisan hadapan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, orang ramai disyorkan memakai topeng muka sekiranya mempunyai gejala seperti batuk, demam dan sebagainya.

“Seperti yang disyorkan KKM hanya mereka yang bergejala perlu memakai topeng muka,” katanya.

Artikel Berkaitan: