JPN jawab isu tular ‘54,000 warga China dalam proses warganegara’

Jabatan Pendaftaran Negara.
Jabatan Pendaftaran Negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tampil menjawab isu tular mengenai ‘54,000 warga China dalam proses warganegara pengundi DAP’ baru-baru ini.

JPN berkata, isu tersebut dipetik dan dimanipulasikan daripada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa beliau berucap dalam sidang media sempena lawatan kerja rasmi ke jabatan itu pada 9 Januari 2023 lalu.

Menurutnya, antara intipati kenyataan Saifuddin ketika itu sebagai menteri yang baharu ialah memutuskan sama ada lulus atau gagal terhadap permohonan kewarganegaraan setelah sekian lama tertunggak tanpa dibuat sebarang keputusan.

“Jumlah 54,000 permohonan tersebut adalah merujuk kepada jumlah permohonan dari 2017 sehingga 2022.

“Ia meliputi pelbagai permohonan di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dan dari pelbagai latar belakang keturunan serta negara asal,” ujar JPN dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai isu ‘54,000 warga China dalam proses warganegara pengundi DAP’ yang memetik kenyataan Saifuddin, namun ia didakwa telah dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab sehingga mendapat perhatian warganet.

Mengulas lanjut, JPN menjelaskan, berdasarkan rekod jabatan berkenaan dari 2019 hingga 31 Julai 2023 lalu, hanya 45 individu dari China dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia secara keseluruhan (Perkara 19(1) mengikut Negara asal).

Tambahnya, ketika itu, Saifuddin turut memaklumkan beliau menyasarkan 10,000 permohonan dapat dibuat keputusan pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Komitmen ini adalah tindakan proaktif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana berpandangan keperluan membuat keputusan dalam tempoh wajar, antara lain bertujuan memberi keadilan kepada pemohon yang telah memohon sekian lama meliputi permohonan di bawah Perkara 15(2), 15A dan 19(1).

“Sekiranya permohonan mereka ditolak, mereka dapat mencari alternatif lain dalam meneruskan kehidupan di negara ini ataupun di negara lain,” katanya lagi.

JPN menegaskan permohonan kewarganegaraan adalah sentiasa tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan yang berkuat kuasa.

Jelasnya, perkara tersebut hanya boleh dikemukakan setelah seseorang itu memenuhi syarat diperuntukkan di bawah Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-kaedah Kewarganegaraan 1964 serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen.

“JPN berharap ini dapat menjelaskan kekeliruan dan keresahan orang ramai. Penganugerahan taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh Kerajaan Malaysia kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat.

“Proses yang dilaksanakan oleh JPN adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin,” ujar jabatan itu.