Kawalan ketat, operasi sanitasi Selangor Mansion, Malayan Mansion hari ini

Anggota Polis Diraja Malaysia bersama anggota Tentera Darat mengawal kawasan persekitaran Selangor Mansion dan Malayan Mansion ketika tinjauan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Anggota Polis Diraja Malaysia bersama anggota Tentera Darat mengawal kawasan persekitaran Selangor Mansion dan Malayan Mansion ketika tinjauan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses sanitasi dan nyah cemar dilakukan di kawasan sekitar Jalan Masjid India hari ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua bangunan di sini berkuat kuasa semalam.

Bangunan berkenaan adalah Selangor Mansion dan bangunan Malayan Mansion yang melibatkan 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan.

Operasi sanitasi dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula di Jalan Raja sejak jam 8 pagi lagi sebelum memasuki kawasan Jalan Masjid India.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan sekitar kedua-dua bangunan tersebut telah ditutup kepada awam hari ini termasuk sebuah pasar raya berhampiran yang difahamkan masih beroperasi semalam.

Kawalan ketat dilaksanakan oleh petugas keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dengan mengawal seluruh kawasan.

Petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat semburan nyah cemar di persekitaran Selangor Mansion dan Malayan Mansion ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penemuan kes Covid-19 di bangunan berkenaan. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat semburan nyah cemar di persekitaran Selangor Mansion dan Malayan Mansion ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penemuan kes Covid-19 di bangunan berkenaan. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Kawat besi di laluan masuk utama kedua-dua bangunan dipasang sejak semalam dan proses penghantaran barang keperluan hanya boleh dibuat di luar pintu masuk utama bangunan dengan pemantauan rapi anggota keselamatan.

Salah seorang penghantar barang dikenali sebagai Raja, 45, berkata, dia menerima pesanan barangan keperluan daripada penghuni di bangunan Malayan Mansion yang juga pekerja di kedai runcitnya terletak di Chow Kit.

Artikel Berkaitan:

"Mereka telefon beritahu perlu barang keperluan untuk makan. Jadi saya hantar ke sini. Semua barang untuk kegunaan satu unit rumah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

PKPD di dua bangunan berkenaan dikuatkuasakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 15 kes baharu positif wabak koronavirus (Covid-19) dikesan di bangunan berkenaan.

Arahan PKPD di bangunan berkenaan adalah keempat dikuatkuasakan apabila sebelum ini tiga kawasan dikenakan PKPD iaitu di Kluang, Johor; Hulu Langat, Selangor dan Menara Plaza City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mohd Rabin Basir hadir meninjau lokasi sekitar Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Turut sama Pengarah Jabatan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.