15,000 sabun anti bakteria untuk ‘frontliner’, golongan memerlukan

Noraini (tengah) ketika mengagihkan sabun anti-bakteria kepada petugas di IPD Subang Jaya
Noraini (tengah) ketika mengagihkan sabun anti-bakteria kepada petugas di IPD Subang Jaya
A
A
A

SUBANG JAYA - Bagi memastikan petugas barisan hadapan sentiasa mengutamakan kebersihan diri, syarikat pengilang dan pemasar produk penjagaan diri, Wipro Unza (Malaysia) Sdn Bhd menyumbangkan 15,000 paket sabun anti bakteria kepada golongan tersebut.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata, pihaknya menerima sumbangan berkenaan pada 3 April lalu bagi diagihkan kepada petugas barisan hadapan (frontliners) sekitar Subang Jaya, Serdang, Seri Kembangan dan Puchong.

Menurutnya, sumbangan tersebut bukan sahaja diagih kepada petugas barisan hadapan malah diedarkan kepada penduduk tidak berkemampuan yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Majlis mengucapkan terima kasih atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut yang bersama-sama dalam membantu meringankan beban golongan kurang bernasib baik semasa menghadapi wabak Covid-19.

“Sumbangan ini juga dapat membantu dan memastikan barisan hadapan yang bertugas di lapangan sentiasa menjaga dan mengutamakan kebersihan diri dalam usaha pencegahan penularan wabak Covid-19 ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, penyerahan sumbangan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Wipro Unza Malaysia, Sriram Krishnamurthy dan Pengurus Besar Bahagian Pembuatannya, Saravanan Palanisamy kepada Noraini di Ibu Pejabat MPSJ.

Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han.

Sumbangan tersebut kemudian diagihkan kepada anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, IPD Serdang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), petugas Klinik Kesihatan Batu 14, Puchong dan Klinik Kesihatan Seri Kembangan semalam.

Artikel Berkaitan:

Noraini berkata, baki sumbangan sabun anti bakteria diterima pihak majlis diedarkan kepada kesemua wakil 24 zon Jawatankuasa Penduduk (JKP) di bawah pentadbiran MPSJ untuk diserahkan kepada golongan memerlukan.