'Saya bukan anti Kedah' - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika menghadiri Jelajah Perpaduan Madani Alor Setar sempena kempen Pilihan Raya DUN Kedah di Alor Mengkudu, pada Jumaat. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika menghadiri Jelajah Perpaduan Madani Alor Setar sempena kempen Pilihan Raya DUN Kedah di Alor Mengkudu, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

BALING - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan yang menyifatkan beliau sebagai anti Kedah sebaliknya menjelaskan membawa pelaburan tambahan berjumlah lebih RM25 bilion ke Kulim Hi-Tech Park.

Menurutnya, kejayaan itu membuktikan beliau bukanlah anti kepada negeri Jelapang Padi itu namun berusaha membawa pelaburan ke seluruh negara termasuk Kedah.

"Awat saya anti Kedah? Saya bawa berbilion ringgit (pelaburan) ke Kedah tau dak, habaq mai sat kat depa...Anwar ni benci orang Kedah? Dia bagi semua (pelaburan) kat Pulau Pinang, kat Johor saya bagi, aku ni Perdana Menteri Malaysia faham dak ni?

"Tapi untuk Kedah saya bawa pelaburan tambahan Infenion yang terbesar luar Jerman. Di mana? Kulim. Negeri mana? Kedah, sebab tu Kedah kena kalih bagi sama, sebab kita boleh buat kerja, nak kata saya anti Kedah, itu tak betul," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Perpaduan Madani Kedah di Kupang, Baling, pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Anwar berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau tidak mengabaikan mana-mana negeri dalam soal menarik pelaburan asing ke dalam negara.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa satu pelaburan tambahan berjumlah kira-kira RM25 billion oleh Infineon Technologies akan dilaksanakan di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

Difahamkan, ia merangkumi perancangan meningkatkan kemudahan untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200 milimeter (mm) terbesar di dunia dengan pelaburan baharu tersebut bagi tempoh lima tahun akan datang.

Dalam program berkenaan, Anwar turut memperkenalkan calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah yang akan berlansung 12 Ogos nanti.

Selain Kedah, lima lagi negeri yang akan melaksanakan PRN termasuk Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

ARTIKEL BERKAITAN:Anwar kagum keberanian Ahmad Zahid

Sanusi perlu malu kes kecurian REE di Kedah - Anwar

Pemimpin negeri harus jadi contoh baik, bukan mencerca - PM

Anwar perjelas isu bawa lelaki Indonesia ke Kedah

Pelaburan Infineon RM25 bilion di Kedah bukti keyakinan pelabur

Pelaburan tambahan Infineon selaras gagasan Ekonomi Madani - PM

Pelaburan Infineon bukti Malaysia penting dalam rantaian semikonduktor