Astro Bukit Jalil tutup dua hari staf positif Covid-19

Astro menutup ibu pejabatnya di Bukit Jalil selama dua hari selepas seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.
Astro menutup ibu pejabatnya di Bukit Jalil selama dua hari selepas seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Astro mengumumkan penutupan ibu pejabatnya di Bukit Jalil di sini selama dua hari selepas seorang kakitangan syarikat itu disahkan positif Covid-19.

Menurut jurucakap Astro, kakitangan syarikat itu disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian pengesanan pandemik tersebut dan kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan.

“Pekerja terbabit yang bertugas dalam pasukan pengangkutan jurutera siaran luar di ibu pejabat di Bukit Jalil disahkan positif pada 5 April,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu, syarikat itu juga sedang berusaha mengenal pasti kontak rapat yang berhubung dengan pekerja berkenaan.

Tegas syarikat penyiaran itu, kesihatan dan keselamatan pekerja sentiasa menjadi keutamaan syarikat tersebut.

“Astro komited dengan langkah-langkah keselamatan di pejabat untuk memastikan pekerja kami selamat.

“Langkah tersebut termasuk peningkatan kekerapan dan tahap pembersihan pejabat, menyediakan bahan pembasmi kuman, menggalakkan penjarakkan sosial di kafe dan dalam lif, mengambil suhu pekerja ketika memasuki premis dan membatalkan rancangan siaran langsung,” katanya.

Jelasnya, pihak pengurusan Astro turut mengambil langkah proaktif dengan menutup sementara pusat penyiaran di Bukit Jalil bagi tujuan kerja sanitasi (pembersihan) atau nyahkuman.

Artikel Berkaitan:

“Kakitangan Astro di ibu pejabat itu telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan termasuk diarahkan bekerja dari rumah,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihak Astro turut menegaskan tiada gangguan dalam mana-mana operasi penyiaran dan pelanggan boleh menikmati perkhidmatan seperti biasa.