Ibu bapa persoal KPM beri cuti negeri kumpulan B dua hari

Ibu bapa tidak berpuas hati KPM beri cuti tambahan untuk kumpulan A hanya satu hari. - Gambar hiasan
Ibu bapa tidak berpuas hati KPM beri cuti tambahan untuk kumpulan A hanya satu hari. - Gambar hiasan
A
A
A

SETIAP kali Malaysia menyambut perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina atau Deepavali sudah pasti banyak perkara yang akan dibangkitkan oleh orang ramai untuk diperkatakan.

Sebagai contoh, setiap kali perayaan, aktiviti ‘wajib’ yang akan dilakukan adalah bermain mercun dan bunga api, namun ada sesetengah individu tidak memikirkan keselamatan sehingga merosakkan harta benda orang lain.

Bagaimanapun, pada Hari Raya Aidiladha ini, bukan perihal mercun yang mahu penulis bangkitkan tetapi rungutan orang ramai tentang cuti umum.

Rata-rata orang ramai menzahirkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati apabila cuti hari raya hanya sehari iaitu pada Khamis dan terpaksa kembali bekerja keesokan harinya (Jumaat).

Bukan itu sahaja, kebanyakan ibu bapa khususnya yang tinggal di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu menzahirkan rasa tidak senang dengan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), apabila hanya memberi cuti sekolah tambahan selama satu hari iaitu pada 28 Jun (Rabu).

Perkara ini turut menjadi bualan apabila KPM, memberi cuti tambahan selama dua hari iaitu pada 28 Jun (Rabu) dan 30 Jun (Jumaat) kepada negeri kumpulan B iaitu Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Putrajaya dan WP Labuan.

Rentetan daripada itu, kebanyakan ibu bapa menzahirkan rasa kekecewaan apabila bilangan cuti hari raya tidak sama bagi kesemua negeri.

Ada dalam kalangan mereka yang menyatakan bahawa kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) sering dipinggirkan dan didakwa seolah-olah ‘dianaktirikan’.

Isu bilangan cuti sekolah tidak sama sepatutnya tidak dijadikan sebagai isu besar, namun pihak KPM perlu memperjelaskan secara nyata dan terperinci tentang perbezaan tersebut.

Ia berikutan, hal itu jika tidak dijelaskan dengan lebih lanjut boleh menimbulkan persepsi masyarakat dari keempat-empat negeri berkenaan yang berasakan bahawa kerajaan tidak berlaku adil tentang pemberian cuti tersebut.