Guru Yahudi di Malaysia

A
A
A

HAMPIR semua institusi pendidikan Malaysia, termasuk pengajian Islam, menggunakan Taksonomi Bloom dalam menilai pencapaian pelajar. Semua guru di sekolah dan pensyarah universiti wajib dilatih secara sistematik bagaimana membina soalan peperiksaan dan menilai jawapan pelajar berdasarkan taksonomi Bloom.

Taksonomi Bloom membahagikan aras kognitif dan pemikiran kepada aras rendah (LOTS) dan aras tinggi (HOTS) iaitu dari aras mengetahui kepada aras merekacipta.

Taksonomi Bloom adalah umpama kitab suci kepada semua fakulti pendidikan di Malaysia. Tetapi siapakah Profesor Bloom?

Profesor Benjamin Bloom dianggap sebagai Bapa Reformasi Kurikulum Israel. Pada tahun 1957, Israel cemburu dengan kejayaan projek Sputnik oleh Rusia yang berjaya menghantar manusia ke angkasa.

Negara Israel, yang baru ditubuhkan hampir 10 tahun yang lalu iaitu pada 1948, tidak mampu bersaing dengan sistem kurikulum pendidikan Rusia dan kuasa-kuasa besar. Israel adalah negara kecil yang dikelilingi oleh negara-negara Muslimin yang memusuhinya.

Israel sedar bahawa pendidikan adalah senjata paling utama untuk Israel bersaing global. (Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita langsung tidak memiliki objektif melahirkan rakyat yang mampu bersaing!). Rakyat Israel pada masa itu hanya berjumlah 2 juta sahaja. Sekarang pun baru hampir mencecah 9 juta orang.

Malaysia memiliki lebih dari 30 juta rakyat. Jauh lebih ramai dari Israel. Muslimin seluruh dunia berjumlah 2 bilion! Bagaimana mungkin 9 juta rakyat Israel mampu bersaing dengan 2 bilion Muslimin yang memusuhinya?

Belum lagi rakyat lain termasuk Cina, India, Inggeris, Jepun, Korea, Aryan Jerman dan lain-lain yang sudah pasti akan memijak jumlah rakyat Israel yang kecil kentot ini.

Artikel Berkaitan:

Setiap Yahudi dididik sejak kecil bahawa walaupun mereka hanya minoriti kecil, tetapi merekalah Kaum Terpilih oleh Tuhan. Maka mereka wajib bersaing!

Sebagai Kaum Terpilih, adalah tidak logik mereka hanya menjadi kuli kepada kaum lain dari segi persaingan ilmu. Yahudi memang kaya raya. Tetapi sekadar kekayaan kebendaan tidak cukup untuk menjadikan mereka Kaum Terpilih. Kaya tapi bodoh adalah umpama lembu yang gemuk makan banyak tetapi akhirnya akan di sembelih.

Yahudi perlu menerajui ketuanan ilmu.

Ilmu

Seluruh sekolah dan universiti dunia patut tunduk kepada ketuanan ilmu mereka. Kita lihat perkara ini sudah berlaku pada Benjamin Bloom yang menjadi Maha Guru kepada majoriti guru, pensyarah, profesor dan ustaz di Malaysia.

Pada 60-an, beliau dijemput oleh Menteri Pendidikan Israel, Zalman Aran, untuk mereformasikan kurikulum pendidikan Israel supaya Israel mampu bersaing global. Bloom minta Kementerian Pendidikan Israel untuk menghantar 10 calon pendidik yang paling bijak kepadanya.

Selepas dia menemuduga kesemua mereka selama 3 hari, Bloom dapati hanya 50 peratus sahaja yang memenuhi pemikiran aras tinggi. Maka beliau pun minta tangguh latihan selama setahun sehingga calon yang benar-benar layak dipilih.

Bagi Bloom, seorang profesor tidak semestinya bijak dan berfikir kritis walaupun dia berilmu. Itulah sebab Bloom pada taksonomi edisi pertama meletakkan ilmu pengetahuan (knowledge) di aras paling rendah. Aras tinggi adalah keupayaan untuk berfikir kritis. Seorang yang berilmu hanya menghafal dan mengetahui informasi yang diberi tetapi tidak mampu berfikir kritis seperti merekacipta, analisis, sintesis, menilai.

Bila 50 peratus daripada 10 calon intelektual Israel ditolak oleh Bloom, ini mencabar wibawa birokrasi Pendidikan Israel. Pilihan birokrasi tidak semestinya berkualiti. Seorang profesor lantikan birokrasi tidak semestinya berkualiti.

Menteri Pendidikan Zalman Aran terus mengasak Bloom untuk meneruskan latihan tetapi Bloom tetap dengan pendiriannya. Ketegasan Bloom akhirnya menundukkan birokrasi.

Kini, usaha Benjamin Bloom sudah berbuah hasilnya. Israel sekarang sudah menerajui inovasi seperti Google, Whatsapp, Waze dan lain-lain. Ia dikenali sebagai 'Start Up Nation'. Bahkan negara-negara Muslimin yang memusuhi Israel pun menggunakan taksonomi Bapa Reformasi Kurikulum Israel. Tokoh Yahudi berjaya menjadi tunggak pendidikan global. Di manakah Khairu Ummah Ukhrijat Lin-Naas?

* Xifu Naser ialah Pensyarah Pemikiran Kreatif Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)