10,000 pelajar keluarga B40 lanjut pengajian secara percuma

Mohamed Khaled (dua dari kiri) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Penutupan Program Jom Masuk U 2023 pada Ahad. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Mohamed Khaled (dua dari kiri) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Penutupan Program Jom Masuk U 2023 pada Ahad. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A
KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Sebanyak 10,000 mahasiswa yang merupakan wakil pertama dari keluarga B40 akan dikecualikan sepenuhnya yuran pengajian di semua universiti awam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) itu akan memperuntukkan kira-kira sebanyak RM30 juta kepada semua universiti awam.

“Semoga dengan inisiatif ini, wakil pertama dari keluarga B40 yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) akan dapat mengikuti pengajian tinggi dengan selesa, tenang dan berprestasi tinggi,” katanya.



Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutupan Program Jom Masuk U 2023 di Universiti Malaya pada Ahad.

Menurut beliau, inisiatif itu dilakukan berdasarkan terdapat anak-anak daripada golongan B40 memperoleh keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) namun tidak berpeluang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akibat kekangan kewangan dan peluang.

Jelasnya, perkara tersebut adalah sesuatu yang sangat dikesalkan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) nekad memastikan tragedi seperti itu tidak berulang lagi.

“Justeru, inisiatif KPT dalam memastikan wakil pertama daripada keluarga B40 yang berjaya memasuki IPT menerima bantuan dan sokongan yang selayaknya.

“Inisiatif khas ini dikenali sebagai Program Pembangunan Siswa Sulung atau ringkasnya Sulung dan telah dimulakan pada tahun lalu.

“Program Sulung ini mensasarkan wakil pertama daripada keluarga B40 yang berjaya diterima masuk ke universiti. Mereka yang dikenal pasti ini akan dikecualikan sepenuhnya bayaran yuran pengajian,” ujarnya.

Bagaimanapun jelas beliau, para pelajar perlu menyediakan kewangan sendiri bagi kos sara hidup kerana program tersebut hanya menanggung yuran pengajian sahaja.