Pakej tambahan RM10 bilion bantu PKS, pekerja tempatan

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej tambahan berjumlah RM10 bilion bagi membantu meringankan beban kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menjamin rakyat terus mendapat pekerjaan.

Jelas beliau, peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac yang lalu dinaikkan daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion.

"Di bawah inisiatif tambahan itu, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung perutusan khas langkah tambahan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin rakyat (Prihatin) yang disiarkan di stesen televisyen tempatan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, menerusi inisiatif khas itu, syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan.

Bagaimanapun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 orang kepada 200 orang pekerja.

Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja.

"Akhir sekali, bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Perdana Menteri, melalui penambahbaikan itu, syarikat-syarikat akan menerima lebih banyak manfaat dan bantuan.

"Bantuan itu adalah untuk selama tiga bulan dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020 dan mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Justeru, kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini," katanya.

Tambah beliau, bagi majikan yang memilih untuk menerima bantuan ini, mereka disyaratkan untuk mengekalkan pekerja mereka sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan, iaitu dalam tempoh tiga bulan semasa menerima subsidi upah dan tiga bulan selepas itu.

Pada 27 Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan bahawa kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion dengan lima inisiatif.

Inisiatif pertama membabitkan tambahan dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas untuk PKS sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM5 bilion.

Selain itu, kadar faedah bagi keseluruhan dana itu akan dikurangkan daripada 3.75 peratus kepada 3.5 peratus.

Inisiatif kedua ialah peningkatan saiz dana sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.

Inisiatif ketiga adalah penyediaan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah.

Skim itu akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan menawarkan kadar faedah dua peratus sahaja tanpa cagaran.

Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi.

Amaun pembiayaan juga ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan.

Inisiatif tersebut adalah terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, operator bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga atas talian.

Inisiatif keempat pula menyaksikan PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada empat tahun boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000.

Inisiatif kelima, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70 peratus kepada 80 peratus bagi PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.