Ramai terharu Allahyarham Nik Aziz terima gelaran Tan Sri

Allahyarham Nik Abdul Aziz dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.
Allahyarham Nik Abdul Aziz dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengguna media sosial menzahirkan rasa terharu dengan penganugerahan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Walaupun sudah lapan tahun pemergian bekas Mursyidul Am Pas itu, jasa beliau masih lagi diingati dan dihargai oleh kerajaan.

Media sosial, Twitter kini dibanjiri dengan ciapan pelayar yang mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi pengurniaan PSM kepada Nik Abdul Aziz.

“Tahniah kepada keluarga Tan Sri Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Jasa dan legasi beliau dikenang negara.

“Walaupun ada yang cuba padam legasi Tan Sri Tuan Guru Nik Aziz, @anwaribrahim tidak pernah lupa sahabat,” tulis pemilik akaun @bumilangit.

Seorang lagi pengguna Twitter @SaifulAdn, menzahirkan penghargaan kepada Nik Abdul Aziz dan dia juga berharap agar penyokong Pas turut merasa kegembiraan itu.

Sementara itu, pemilik akaun @_ashcool97 juga mengucapkan tahniah kepada beliau kerana dikurniakan pingat PSM yang membawa gelaran Tan Sri.

Pada Isnin, media tempatan melaporkan, isteri Allahyarham Nik Aziz, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak hadir mewakili suaminya bagi menerima darjah kebesaran itu daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Nik Abdul Aziz meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka, Kelantan pada 15 Februari 2015, kira-kira jam 9.40 malam akibat kanser prostat, selepas menerima rawatan selama 25 hari di Hospital Universiti Sains Malaysia.