Penduduk PKPD Sungai Lui dibenar beli barang keperluan dari luar

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada individu menghantar barangan keperluan penduduk ke bilik gerakan Sungai Lui, hari ini
Tinjauan Sinar Harian mendapati ada individu menghantar barangan keperluan penduduk ke bilik gerakan Sungai Lui, hari ini
A
A
A

HULU LANGAT - Penduduk yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh kampung di Sungai Lui dibenarkan untuk menerima barang keperluan yang dipesan dari luar kawasan.

Pemilik kedai runcit, Ramli Bakar, 45, berkata, pihaknya mula menerima pesanan daripada penduduk terjejas di kawasan itu sejak empat hari lalu.

“Saya difahamkan satu keluarga hanya dibenarkan membuat pesanan dua kali seminggu.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD: Keperluan secukupnya dibekal kepada penduduk Sg Lui

"Pesanan pula diterima melalui aplikasi WhatsApp dan mereka (penduduk) akan membuat pembayaran pada akaun saya secara dalam talian," katanya ketika ditemui di hadapan Dewan Orang Ramai Sungai Lui, hari ini.

Ramli berkata, selepas pesanan diterima, barang yang dikirim akan dibungkus mengikut alamat penduduk sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa di bilik gerakan untuk penyerahan.

"Kebanyakan barang yang dipesan penduduk adalah bekalan makanan seperti telur, ayam, ikan dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Ismail Mohd, 40, berkata, abang saudaranya yang tinggal di Kampung Batu 23, di sini, meminta pertolongannya untuk menghantar bekalan makanan dan keperluan asas.

Artikel Berkaitan:

"Dia menghubungi saya meminta tolong untuk menghantar barang ke sini, saya menyerahkan barangan itu kepada pihak berkuasa yang menjaga sekatan jalan raya memandangkan orang luar tidak dibenarkan masuk.

"Antara barang yang dihantar kepada abang saudara adalah ayam, daging serta keperluan perubatan,” katanya.

Ismail berkata, abang saudaranya bersama isteri serta tiga anak memaklumkan mereka dalam keadaan sihat dan tidak berdepan sebarang masalah.

“Mereka memaklumkan segala keperluan dan kebajikan mereka dijaga dengan baik oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh PKPD berkuat kuasa di kawasan ini," katanya.

Dalam kenyataan, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan, sebarang pesanan khas untuk membeli barangan keperluan bagi penduduk di kawasan dikenakan PKPD akan cuba dipenuhi oleh pihak berkuasa.

Beliau menjelaskan, keperluan barangan basah dan asas dibekalkan kepada penduduk di tiga kawasan menjalani PKPD, namun mengakui wujud keperluan pembelian produk lain seperti susu bayi, lampin, ubat gigi dan sebagainya.

Sebelum ini, tujuh kampung iaitu Kampung Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Kampung Gemi, Kampung Orang Asli Paya Lebar dan Kampung Orang Asli Sungai Gabai dikenakan PKPD bermula 30 Mac lalu hingga 13 April.