Keluar hujung minggu, faktor kes tangkapan kembali meningkat

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Selepas empat hari berturut-turut kes tangkapan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menurun, jumlah individu yang ditahan kembali meningkat kelmarin kepada 554 berbanding 368 hari sebelumnya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, faktor itu didorong kerana ramai pihak mengambil kesempatan untuk keluar pada hari minggu.

“Kalau sebelum ini saya bangga kerana berlaku penurunan kes (individu ditahan ingkar PKP) selama empat hari berturut-turut. Semalam (kelmarin), ia meningkat kepada 51 peratus.

"Saya dimaklumkan peningkatan ini berlaku kerana ramai yang mengambil kesempatan untuk keluar pada hari minggu,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri di sini semalam.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, situasi sedemikian tidak seharusnya berlaku dan tindakan tegas dan lebih keras akan diambil polis bagi memastikan tiada pihak yang melanggar tempoh PKP.

“Tolong jangan ambil peluang untuk keluar pada hari minggu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa daripada 554 individu yang ditahan, seramai 489 dibebaskan dengan jaminan, manakala 213 telah dituduh di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga 5 April (kelmarin) ialah sebanyak 6,048 orang,” katanya.