Bilangan kenderaan dijangka bertambah hujung minggu ini

Smartlane di lima lokasi utama di Lebuhraya Utara Selatan diharap mampu melancarkan aliran trafik hujung minggu ini. - Foto Bernama
Smartlane di lima lokasi utama di Lebuhraya Utara Selatan diharap mampu melancarkan aliran trafik hujung minggu ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengaktifkan laluan 'Smartlane' di lima lokasi utama di Lebuhraya Utara Selatan diharap mampu melancarkan aliran trafik dan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, pihaknya menjangkakan terdapat pertambahan aliran kenderaan bagi pengguna jalan raya dan lebuh raya utama di seluruh negara pada hujung minggu ini serta awal minggu hadapan.

Beliau berkata, jangkaan itu dibuat memandangkan orang ramai masih berada dalam suasana berhari raya dan berakhirnya cuti persekolahan, selain cuti umum Hari Pekerja pada 1 Mei.

"Bagi melancarkan pergerakan pengguna jalan raya, Op Lancar akan dilaksanakan semula pada 28 April sehingga 1 Mei bagi mengawasi kawasan 'hotspot' yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas.

"Untuk itu, petugas PDRM akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti untuk memastikan aliran trafik yang lancar dan terkawal.

"Selain petugas PDRM ditempatkan di lokasi 'hotspot', langkah-langkah penyuraian kesesakan turut dilaksanakan dengan mengaktifkan laluan 'Smartlane' di lima lokasi utama di Lebuhraya Utara Selatan dengan kerjasama pihak PLUS," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mat Kasim berkata, lima laluan 'Smartlane' itu adalah melibatkan penyuraian kesesakan di persimpangan Port Dickson hingga persimpangan Seremban antara KM260.0 hingga KM263.1 (arah utara) dan persimpangan Senai Utara hingga persimpangan Kulai antara KM19.0 hingga KM27.0 (arah utara).

Selain itu katanya, penyuraian turut dilakukan di tiga lokasi lain iaitu di Gua Tempurung hingga Gopeng antara KM306.7 hingga KM297.0 (arah utara); laluan Slim River hingga ke Sungkai antara KM367.3 hingga KM354.1 (arah utara) serta dari Rawang ke Sungai Buaya antara KM439.9 hingga KM435.5 (arah utara).

Beliau berkata, JSPT mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kemalangan atau kesesakan luar biasa daripada semua pengguna jalan raya.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada Bilik Gerakan Trafik Bukit Aman di talian 03-2266 3356 yang bertugas 24 jam setiap hari.

"PDRM akan terus komited untuk memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai, seterusnya berusaha melancarkan perjalanan sepanjang tempoh musim perayaan kali ini," katanya.