Kes tembak mati dekat balai polis, empat suspek diburu

Polis buru empat lelaki untuk siasatan kes tembak mati berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, Kuala Langat pada Khamis.
Polis buru empat lelaki untuk siasatan kes tembak mati berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, Kuala Langat pada Khamis.
A
A
A

KUALA LANGAT - Polis giat memburu empat individu untuk siasatan kes tembak mati seorang lelaki berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, berdasarkan maklumat saksi kejadian, terdapat empat lelaki memakai topi keledar dan cermin gelap berada di lokasi ketika kejadian tembakan berlaku.

"Usaha mengesan mereka ini masih dalam tindakan pihak polis.

"Motif kejadian juga masih dalam siasatan dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam pada Khamis, mangsa berusia 39 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan empat tembakan di kepala.

Pemeriksaan pasukan forensik polis Kontinjen Selangor telah menemui lima kelongsong peluru.

Semakan mendapati mangsa mempunyai 13 rekod lampau atas pelbagai kesalahan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222.