Apa pun alasan, kena buat tawaran tender terbuka

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan Kementerian Kewangan yang memberikan kontrak mencetak buku-buku teks Program Dwibahasa (DLP) Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) secara terus tanpa melalui proses tender yang telus dan adil.

Presidennya, Muhammed Farhan Basher berkata, walaupun kementerian berhasrat untuk memudahkan prosedur perolehan dan kewangan bagi memastikan kelengkapan pembelajaran dapat disediakan dengan baik namun hakikatnya buku tersebut yang sepatutnya dicetak pada Disember lalu hanya dapat disiapkan pada bulan Mac ini.

Jelas beliau, pemberian kontrak mencetak buku itu pula diberikan kepada penerbit dan bukan kepada pencetak buku yang mempunyai kapasiti serta keupayaan yang jauh lebih baik untuk mengeluarkan buku tersebut tepat pada waktunya.

“Walau apa juga alasan yang diberikan, Kementerian Kewangan perlu membuat tawaran secara tender terbuka bukannya secara rundingan terus bagi mengelak daripada memberi projek hanya kepada kroni atau individu yang tidak layak.

“Kerajaan juga perlu memastikan mana-mana tender perlu diberi kepada kontraktor yang layak dan cekap bagi memastikan projek dapat disiapkan pada tarikh ditetapkan, agar tidak menjejaskan sistem pendidikan yang sedang berjalan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Pada 13 Januari lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis menyindir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam isu membabitkan kelulusan khas permohonan melaksanakan perolehan buku-buku teks Program Dwibahasa (DLP) Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) secara rundingan terus.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan memaklumkan kelulusan khas untuk permohonan melaksanakan perolehan buku teks DLP untuk PT3 yang diadakan pada 18 September lalu, bertujuan supaya keperluan pelajar-pelajar dapat dipenuhi secepat mungkin.

Muhammed Farhan ketika mengulas perkara tersebut berkata, terdapat banyak syarikat percetakan yang mempunyai lesen mencetak buku teks sekolah daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan mereka bersaing secara sihat dengan menawarkan pakej harga yang terbaik.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya buku yang dicetak itu tidak menepati kualiti dan mengikut masa yang ditetapkan, maka syarikat percetakan bumiputera ini akan dikenakan denda atau penalti. Ini yang sepatutnya dilakukan oleh Kementerian Kewangan terhadap syarikat yang gagal menerbitkan buku DLP itu.

“Persoalan yang perlu dijawab ialah mengapa projek ini diberikan kepada penerbit, bukan kepada ahli dalam persatuan pencetak bumiputera. Apakah penerbit itu mempunyai keupayaan untuk mencetak projek dalam skala besar itu?,” soal beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya kerajaan perkara tersebut tidak berlaku lagi pada masa depan dan berharap kerajaan mengamalkan konsep telus, berintegriti dan menjaga kepentingan semua pihak.

“Barangkali tidak terlalu lambat untuk kerajaan berazam untuk tidak membuat sebarang keputusan yang bertentangan dengan janji dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu,” ujarnya.