Pengurusan kediaman berstrata dibenarkan beroperasi

Ismail Sabri pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pengurusan premis kediaman berstrata dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

“Bagi memudahkan pengurusan premis kediaman berstrata, mesyuarat bersetuju membenarkan pihak pengurusan beroperasi sepanjang tempoh PKP dengan dua orang pihak pengurusan sahaja dibenarkan bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri mengenai PKP di sini hari ini.

Mengulas mengenai cadangan supaya kerajaan dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menangguhkan sementara pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam, Ismail Sabri berkata, perkara itu memerlukan perbincangan terlebih dahulu.

“Setakat ini belum ada perbincangan dalam mesyuarat khas menteri-menteri, jika dibangkitkan kita akan bincang perkara itu atau mungkin dalam mesyuarat jawatankuasa khas kabinet,” katanya.

Bernama melaporkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini menyarankan kerajaan dan LPPSA menangguhkan sementara pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam yang dibuat melalui LPPSA.

Presiden Cuepacs Adnan Mat dalam satu kenyataan media memaklumkan, penangguhan berkenaan wajar dibuat agar selari dengan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium selama enam bulan, yang dilakukan oleh institusi-institusi perbankan akibat penularan wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuepacs harap pinjaman perumahan penjawat awam dapat penangguhan

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, ibu bapa tidak perlu risau tentang anak mereka yang masih ditempatkan di institusi pengajian tinggi susulan PKP kerana semuanya diuruskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Jadi ibu bapa jangan rasa gundah gulana, serah kepada KPT, insya-ALLAH anak-anak akan dijaga dengan baik, kebajikan mereka (anak-anak) akan dijaga ...jangan diragui,” katanya. - Bernama