Jangan biarkan api sensitiviti membakar negara

Perbuatan memijak al-Quran adalah tindakan biadab, melampau dan tidak boleh diterima sama sekali.
Perbuatan memijak al-Quran adalah tindakan biadab, melampau dan tidak boleh diterima sama sekali.
A
A
A

INSIDEN seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa memijak al-Quran pada 25 Februari lalu mengundang reaksi meluas masyarakat dan membuka semula perbahasan tentang batas kebebasan bersuara dalam negara berbilang agama di Malaysia.

Perbuatan itu yang dilakukan ketika umat Islam baru menyambut bulan Ramadan menyebabkan ramai bertindak mengecam dan mahu tindakan tegas diambil terhadap si pelaku tanpa sebarang kompromi.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil menerusi Tinta Mufti turut menyifatkan perbuatan memijak al-Quran adalah tindakan biadab, melampau dan tidak boleh diterima sama sekali.

Menurutnya, kitab al-Quran merupakan kalam ALLAH SWT dan kitab suci umat Islam yang wajib dijaga dan dipelihara kesuciannya.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi jaminan Kerajaan Madani tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak menghina al-Quran di negara ini dalam apa jua bentuk.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak memandang ringan terhadap sebarang bentuk penghinaan, bukan sahaja terhadap Islam tetapi juga terhadap agama lain di negara ini demi mengekalkan keharmonian.

Dalam konteks Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, tindakan menyentuh kitab suci secara tidak beradab bukan sekadar isu peribadi, tetapi berpotensi menjadi isu ketenteraman awam.

Dalam era digital, tindakan individu yang merakam dan menyebarkan di media sosial boleh mencetuskan gelombang kemarahan dalam masa singkat. Namun persoalan lebih besar di sini ialah mengapa insiden seperti ini berulang?

Sebahagian pihak melihatnya sebagai kegagalan pendidikan nilai dan kefahaman silang budaya. Malaysia yang dihuni masyarakat majmuk memerlukan tahap empati yang tinggi terhadap sensitiviti agama masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Tindakan menghina agama masing-masing bukan sahaja menyakitkan hati masyarakat, malah boleh mencetuskan reaksi balas yang tidak terkawal.

Tindakan

Jika kes penghinaan agama berlarutan, dibimbangi beberapa implikasi serius boleh berlaku seperti peningkatan perpecahan kaum dan agama, kepercayaan antara komuniti boleh terhakis malah imej Malaysia sebagai negara yang berbilang bangsa dan agama di peringkat antarabangsa boleh terjejas.

Namun, dalam mengurus isu sensitif ini, pendekatan menghukum semata-mata tidak mencukupi. Pendidikan karakter, penghayatan Rukun Negara serta dialog antara agama perlu diperkasa.

Institusi pendidikan dan keluarga memainkan peranan penting membentuk generasi yang memahami bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghina kepercayaan orang lain.

Pada masa sama, masyarakat juga harus mengelak daripada mengambil tindakan sendiri. Reaksi melulu hanya akan memburukkan keadaan dan membuka ruang kepada ketegangan yang lebih besar. Prinsip kedaulatan undang-undang mesti dihormati.

Kes ini menjadi ujian kepada kematangan rakyat Malaysia. Sama ada kita memilih untuk beremosi atau bertindak dengan rasional akan menentukan arah keharmonian negara.

Dalam suasana dunia yang semakin berpecah-belah, Malaysia tidak boleh membiarkan api kecil sensitiviti agama merebak menjadi bara perpecahan.

Hormat adalah asas hidup bersama. Tanpa sikap saling menghormati, perpaduan hanyalah slogan yang dilaungkan dan tidak boleh dihayati.

*Farah Nabila Mohamed Saris ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!