'Dua jam ayah cari kaki abang yang putus'

Pelatih dan pemain ragbi Sukma Terengganu, Sayyid Iskandar terpaksa ditidurkan bagi meneruskan rawatan.
Pelatih dan pemain ragbi Sukma Terengganu, Sayyid Iskandar terpaksa ditidurkan bagi meneruskan rawatan.
A
A
A

KUALA KRAI – Dalam suasana malam yang masih diselubungi kegelapan, seorang bapa sanggup menghabiskan masa hampir dua jam mencari kaki kanan anaknya yang terputus selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Bechah Salak, Jalan Batu Balai–Chuchoh Puteri di sini, malam Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, pelatih dan pemain ragbi Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, Sayyid Iskandar Mohamad Azaha, 20, yang juga pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Elektrik di Kolej Vokasional Kuala Krai, mengalami putus kaki kanan selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta.

Adiknya, Nurul Asyiqin, 18, berkata, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian oleh anak jiran, ibu bapa mereka bergegas ke lokasi dari rumah di Bukit Acheh, Kampung Tengah.

Menurutnya, bapanya, Mohamad Azaha Ismail, 53, mengambil masa kira-kira dua jam untuk mencari kaki kanan abangnya yang terputus di lokasi kejadian.

“Walaupun ia berjaya ditemukan, namun sukar untuk disambung kembali kerana kaki abang terputus bermula dari bahagian pinggul ke bawah.

“Lebih menyedihkan lagi, ayah sanggup menguruskan kaki abang dengan mencuci serta menanamnya walaupun dia takut darah. Sehingga sekarang ibu dan ayah masih mendiamkan diri dan bersedih kerana abang adalah anak lelaki sulung dan harapan keluarga,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Tambahnya, ibu mereka, Nik Zurinawati Yusuf, 46, yang merupakan jururawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), turut menguruskan mangsa setibanya di lokasi kejadian.

“Ibu memaklumkan kepada kami, walaupun dia sudah biasa dengan situasi kecemasan, namun disebabkan ia melibatkan anak sendiri, ibu mengalami trauma,” katanya.

Nurul Asyiqin berkata, abangnya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera berikutan pendarahan teruk, manakala kaki kanan yang terputus ketika itu belum ditemui kerana keadaan di lokasi kejadian terlalu gelap serta dikatakan tercampak jauh.

Artikel Berkaitan:

Mangsa kemudian dimasukkan ke bilik bedah sekitar jam 11 malam hingga 5 pagi sebelum ditidurkan bagi meneruskan rawatan lanjut.

Sebelum kejadian, katanya, abangnya sempat memujuk ibu untuk membenarkannya menyertai Cabaran ‘Moreh’ Tujuh Sebelah yang akan diadakan pada Jumaat dan Sabtu ini, namun tidak diizinkan kerana berlangsung dalam bulan Ramadan.

“Sejam sebelum kejadian, abang sempat memujuk ibu kerana dia teringin sangat menyertai cabaran tersebut. Selepas berborak dengan ibu, dia sempat bermain dengan adik bongsu kami sebelum keluar moreh bersama rakan-rakan.

“Pada hari kejadian kebetulan Sayyid Iskandar tidak ke masjid menunaikan tarawih seperti malam-malam sebelumnya. Kami dimaklumkan kereta terbabit dikatakan memotong ketika menaiki bukit manakala abang dan tiga lagi rakannya menunggang motosikal.

“Abang berada paling belakang dan ketika kereta itu memotong, motosikalnya sedang menaiki bukit. Disebabkan itu dia dipercayai tidak nampak kemunculan kereta tersebut hingga berlaku pertembungan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Sayyid Iskandar Mohamad Azaha, pelatih dan pemain ragbi Sukma Terengganu, terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kaki kanannya putus
  • Mangsa berumur 20 tahun sempat memujuk ibunya untuk membenarkannya menyertai Cabaran 'Moreh' Tujuh Sebelah sebelum kejadian
  • Kecelakaan berlaku ketika Sayyid Iskandar bersama rakan sedang menunggang motosikal dan bertembung dengan sebuah kereta
  • Ibunya, seorang jururawat, menguruskan keadaan darurat anaknya di tempat kejadian sebelum mangsa dibawa ke hospital
  • Ayahnya mengambil masa dua jam untuk mencari kaki yang terputus di lokasi kejadian tetapi kaki itu sukar disambung kembali

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!