Kekal tenang, fahami mekanisme KWSP

CADANGAN supaya dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disalurkan sepenuhnya ke Akaun Fleksibel (Akaun 3) dilihat memberi harapan kepada pencarum yang berdepan tekanan kos sara hidup menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
Bagaimanapun, penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn menunjukkan perkara itu tidak boleh dilaksanakan kerana tertakluk kepada Akta KWSP sedia ada.
Menurut beliau, dividen perlu dikreditkan mengikut akaun masing-masing seperti diperuntukkan undang-undang dan bukan disalurkan sepenuhnya ke satu akaun tertentu.
Situasi tersebut mungkin mengecewakan sebahagian pencarum yang mengharapkan akses tunai lebih cepat melalui akaun Fleksibel bagi menampung keperluan semasa.
Namun, struktur simpanan KWSP sejak awal diwujudkan bagi mengekalkan keseimbangan antara keperluan jangka pendek dan jaminan kewangan selepas persaraan.
Jika dividen boleh dipindahkan sepenuhnya ke akaun yang mudah dikeluarkan, matlamat simpanan jangka panjang berisiko terjejas.
KWSP turut menjelaskan bahawa Akaun Fleksibel tetap menerima dividen 6.15 peratus tetapi berdasarkan baki sebenar dalam akaun tersebut.
Ini bermakna pencarum masih menikmati pulangan simpanan walaupun agihan tidak dibuat secara pukal seperti yang dicadangkan.
Penjelasan berkenaan memperlihatkan sistem KWSP beroperasi mengikut disiplin kewangan dan kerangka undang-undang, bukannya tekanan keadaan semasa.
Dalam keadaan ekonomi mencabar, keinginan mendapatkan wang segera adalah difahami, namun simpanan persaraan tetap perlu dilindungi.
Justeru, pencarum disaran kekal tenang dan memahami bahawa dividen tetap diagihkan serta simpanan terus berkembang walaupun bukan dalam bentuk yang diharapkan sesetengah pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
