Kebakaran kediaman: Ancaman senyap dalam rumah sendiri

TRAGEDI kebakaran yang meragut nyawa lima sekeluarga di Raub, Pahang, Khamis lalu menyentuh hati masyarakat.
Terbaharu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di tingkat 10 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, pada Ahad.
Kejadian tersebut menggambarkan bahawa kebakaran merupakan bencana senyap yang mampu meragut nyawa dalam tempoh singkat.
Dapatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tahun lalu merekodkan sebanyak 16,111 kes kebakaran di seluruh negara dengan 98 kematian, dan 76 peratus daripadanya melibatkan kebakaran rumah serta bangunan.
Kebakaran kediaman sering berlaku dengan sangat pantas dan mampu merebak dalam masa beberapa minit sahaja.
Dalam situasi ini, penghuni rumah lazimnya tidak mempunyai masa mencukupi untuk menyelamatkan diri, apatah lagi kanak-kanak dan warga emas yang mempunyai mobiliti terhad.
Laporan menunjukkan 60 peratus kebakaran rumah berpunca daripada litar elektrik, sekali gus menjadi penyumbang tertinggi berikutan pendawaian usang, penggunaan soket berlebihan dan penyambungan elektrik bertindih.
Dalam situasi kebakaran, tandas sering dianggap sebagai tempat selamat kerana mempunyai sumber air. Namun, hakikatnya tandas merupakan ruang yang berisiko tinggi kerana tertutup, pengudaraan terhad dan hanya memiliki satu laluan keluar.
Kejadian itu juga menunjukkan kelemahan tahap kesiapsiagaan masyarakat terhadap risiko kebakaran kediaman.
Prinsip keselamatan kebakaran menekankan konsep keupayaan menyelamatkan diri.
Justeru, pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan dan pendidikan keselamatan kebakaran perlu diperkasa di peringkat sekolah serta komuniti, termasuk latihan menyelamatkan diri secara berkala.
Langkah asas seperti mengenal pasti laluan keluar rumah, tidur dengan pintu bilik tertutup, merangkak keluar ketika asap tebal serta berkumpul di titik selamat sering dipandang remeh walaupun terbukti mampu menyelamatkan nyawa.
Selain itu, pemasangan alat pengesan asap juga merupakan elemen penting dalam konsep menyelamatkan diri (self-rescue) kerana ia memberi amaran awal kepada penghuni.
Tanpa sistem amaran, kebakaran yang berlaku ketika tidur hampir pasti mengundang risiko kematian akibat terhidu asap beracun.
Kebakaran kediaman bukan sekadar kemalangan, tetapi isu keselamatan awam yang memerlukan kesedaran kolektif.
Tanpa perubahan sikap dan sistem perlindungan yang lebih kukuh, tragedi seumpama ini berpotensi terus berulang, meragut nyawa dalam diam dan meninggalkan luka mendalam kepada masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
