Konflik Asia Barat cetus kebimbangan bakal jemaah haji?

KONFLIK Asia Barat susulan serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran sudah pasti menimbulkan kebimbangan dalam kalangan bakal jemaah haji Malaysia, khususnya bagi musim 1447H/2026M.
Walaupun setakat ini tiada sebarang pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung perubahan terhadap pelaksanaan ibadat haji, isu keselamatan dan kelancaran perjalanan ke Tanah Suci menjadi perkara utama yang diberi perhatian.
Liputan meluas media tempatan dan antarabangsa mengenai ketegangan serantau itu, termasuk tindakan beberapa negara menutup ruang udara masing-masing, meningkatkan lagi kebimbangan orang ramai.
Situasi semasa turut menyaksikan terdapat jemaah Malaysia yang menunaikan umrah terkandas di Jeddah selepas penerbangan pulang ke tanah air dibatalkan.
Berdasarkan laporan media dan perkongsian di media sosial, sebahagian daripada mereka mula berdepan kebimbangan kewangan apabila tempoh terkandas berlanjutan dan simpanan semakin menyusut.
Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan pihaknya sedang memantau dan menilai secara rapi situasi konflik semasa di Iran yang menjejaskan ruang udara di Asia Barat.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, susulan konflik berkenaan, beberapa penerbangan pergi dan balik dari rantau itu digantung buat sementara waktu.
“TH sedang memantau dan menilai keadaan perkembangan konflik ini dengan rapat dan akan membuat pemakluman seterusnya pada masa yang sesuai,” katanya.
Perkembangan di Asia Barat perlu dipantau secara berterusan kerana ia melibatkan perjalanan ibadah ribuan jemaah Malaysia.
Walaupun lokasi ibadah utama di Makkah dan Madinah tidak terlibat secara langsung dalam konflik, persepsi risiko tetap wujud dan aspek keselamatan serta kebajikan bakal jemaah mesti diutamakan.
Bakal jemaah dinasihatkan supaya sentiasa merujuk maklumat daripada pihak berkuasa rasmi seperti TH dan Kementerian Luar Negeri, serta mengelakkan penyebaran atau mempercayai spekulasi tidak sahih di media sosial.
Dalam apa jua keadaan, diharapkan segala urusan bakal jemaah haji dipermudahkan dan perjalanan ibadah dapat dilaksanakan dengan selamat serta lancar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

