Cuaca panas: JPN Terengganu sedia laksana belajar dari rumah jika suhu melampau

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bersiap siaga menghadapi fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pelajar.
Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed berkata, pihaknya kini giat mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan setiap sekolah bersedia mendepani sebarang kemungkinan perubahan cuaca.
Menurut beliau, semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah telah dimaklumkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) sekiranya suhu mencecah paras yang membimbangkan.
"Sekiranya suhu melebihi paras tertentu, sekolah akan mengambil langkah sewajarnya, sama ada menghentikan aktiviti luar atau menunggu peringatan daripada pihak meteorologi.
"Paling penting, jika cuaca terlalu panas, kita akan mengambil langkah belajar dari rumah (BDL) iaitu anak-anak akan belajar secara dalam talian," katanya ketika ditemui pada program Syukur 3.0 di Rumah Padi Eventspace, Kubang Parit, di sini.
Hadir sama, Pengerusi Program Syukur 3.0, Helmi Rasli.
Mengulas lanjut, Kamsah turut mengingatkan ibu bapa agar memainkan peranan penting dengan memastikan anak-anak dibekalkan dengan air minuman yang mencukupi sebelum ke sekolah.
Ujarnya, pihak sekolah juga telah mengambil inisiatif menyediakan bekalan air masak tambahan bagi memastikan murid mendapat hidrasi yang cukup, lebih-lebih lagi ketika umat Islam kini sedang menjalani ibadah puasa.
"Mengikut peraturan sedia ada, pelajar dibenarkan memakai pakaian sukan dan tidak perlu memakai uniform rasmi jika keadaan cuaca terlalu panas.
"Pihak sekolah juga ada menyediakan pakaian sukan, namun buat masa ini, (penggunaannya) masih belum diperlukan. Kita akan terus memantau keadaan cuaca dalam minggu ini," jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa JPNT akan sentiasa mengikut arahan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari semasa ke semasa.
"Setakat ini, kami belum menerima maklumat baharu berkaitan cuaca (ekstrem), tetapi jika ada, Insya-ALLAH akan dimaklumkan dengan segera kepada semua pihak," katanya.
Pada program itu, seramai 200 pelajar asnaf daripada 15 buah sekolah yang mewakili 100 keluarga menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan dapur.
Ringkasan AI
- JPNT bersiap siaga menghadapi fenomena cuaca panas untuk menjamin keselamatan dan keselesaan pelajar
- Sekolah akan mengambil langkah sewajarnya seperti Belajar Dari Rumah jika suhu melebihi paras tertentu
- Ibu bapa diminta memastikan anak-anak dibekalkan dengan air minuman yang cukup sebelum ke sekolah
- Pelajar dibenarkan memakai pakaian sukan jika keadaan cuaca terlalu panas
- JPNT akan mengikut arahan dan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia mengenai cuaca ekstrem
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
