Memacu negeri, memperkukuhkan rakyat: Prestasi Terengganu berasaskan data

PRESTASI kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, khususnya berhubung pencapaian pentadbiran negeri, wajar dinilai secara objektif berasaskan data rasmi dan bukan semata-mata retorik politik.
Dalam landskap demokrasi, perbezaan pandangan adalah perkara biasa.
Namun, penilaian terhadap prestasi pentadbiran negeri sewajarnya berpandukan rekod kewangan, pertumbuhan ekonomi, pelaburan serta indikator kesejahteraan rakyat yang boleh disahkan.
Hasil Negeri Cecah Paras Tertinggi- Rekod kewangan menunjukkan hasil negeri Terengganu telah melepasi RM450 juta pada 2025, menjadikannya antara pencapaian tertinggi dalam sejarah pentadbiran negeri.
Sebagai perbandingan, pada 2018 hasil negeri berada sekitar RM283 juta. Ini bermakna peningkatan melebihi 59 peratus dalam tempoh tujuh tahun.
Kenaikan tersebut mencerminkan usaha memperkukuh sumber hasil dalaman negeri, termasuk pengurusan aset dan tanah secara lebih strategik serta kepelbagaian aktiviti ekonomi di peringkat daerah.
Perkembangan ini menunjukkan pendekatan yang lebih seimbang dalam memperkukuh asas kewangan negeri.
Ekonomi Berkembang Hampir RM5 Bilion- Dari sudut makroekonomi, saiz Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu meningkat daripada RM34.8 bilion pada 2018 kepada RM39.9 bilion pada 2024.
Walaupun negeri turut berdepan cabaran pandemik Covid-19 pada 2020, pemulihan pasca-pandemik menunjukkan trajektori pertumbuhan yang kembali stabil. Pertambahan hampir RM5 bilion dalam tempoh tersebut menggambarkan daya tahan struktur ekonomi negeri.
Pelaburan Bersifat Kitaran, Lonjakan Ketara 2025- Data pelaburan, khususnya dalam sektor pembuatan yang direkodkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), menunjukkan corak turun naik bergantung kepada kelulusan projek berskala besar pada sesuatu tahun.
Sebagai contoh, pelaburan pembuatan pada 2018 mencecah hampir RM4.9 bilion. Corak ini menunjukkan bahawa pelaburan negeri tidak statik, sebaliknya bergantung kepada projek utama yang diluluskan pada tahun tertentu.
Bagi 2025, jumlah pelaburan yang direkodkan bagi separuh pertama tahun sahaja telah melebihi RM6 bilion — antara angka tertinggi pernah dicapai setakat ini.
Pencapaian tersebut mencerminkan momentum semasa yang positif, walaupun trend pelaburan secara keseluruhan bersifat kitaran.
Kadar Pengangguran Rendah dan Stabil- Keadaan pasaran buruh turut menunjukkan perkembangan yang positif. Sepanjang 2025, kadar pengangguran direkodkan sekitar 2.8 hingga 2.9 peratus bagi tiga suku pertama sebelum meningkat sedikit kepada 3.1 peratus pada suku keempat.
Paras ini kekal antara yang terendah pernah direkodkan negeri dan mencerminkan kestabilan peluang pekerjaan dalam tempoh pemulihan ekonomi.
Terengganu Tertinggi Indeks Kebahagiaan- Dalam aspek kesejahteraan sosial, Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia meletakkan Terengganu di kedudukan tertinggi dengan skor 8.64 dalam kategori “sangat bahagia”.
Indeks ini merangkumi 94 indikator melibatkan dimensi fizikal, sosial, emosi dan spiritual, sekali gus memberi gambaran lebih menyeluruh terhadap kualiti hidup rakyat.
Penilaian Perlu Berteraskan Prestasi- Dalam konteks pentadbiran moden, kepimpinan tidak wajar dinilai berdasarkan persepsi atau gaya retorik semata-mata.
Ukuran sebenar terletak pada kestabilan fiskal, pertumbuhan ekonomi, keyakinan pelabur, peluang pekerjaan serta tahap kesejahteraan rakyat.
Berdasarkan indikator tersebut, data rasmi menunjukkan Terengganu mencatatkan perkembangan yang positif dalam beberapa aspek utama.
Perbezaan pandangan politik adalah lumrah, namun sebarang penilaian terhadap kepimpinan negeri wajar berteraskan fakta dan angka yang boleh diverifikasi.
*YB Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman ialah Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baru, Perindustrian, Perdagangan dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
