Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said

Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said meninggal dunia pada jam 6.10 petang Selasa.
Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said meninggal dunia pada jam 6.10 petang Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memberi penghormatan terakhir kepada Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di sini, malam Selasa.

Ketibaan Anwar kira-kira jam 10.50 malam turut diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau kemudian menyertai ahli keluarga Allahyarham, rakan penggiat seni dan orang ramai membaca surah Yasin serta mengadakan majlis tahlil ringkas bagi mendoakan roh Allahyarham.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar menzahirkan rasa hiba dan sayu atas pemergian tokoh kesusasteraan negara itu yang meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 6.10 petang Selasa.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh yang banyak mengangkat kehidupan golongan terpinggir menerusi karya sastera, selain mengajak masyarakat memahami perjuangan dan harapan mereka.

"Lewat ‘Salina’ (1961), Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih, agar kita turut menggarap duka dan memperjuang harapan mereka.

"Kasihnya kepada rakyat akan terus hidup dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan," kongsi beliau.

A Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka dan menerima Anugerah Sastera Negara pada 1985.

Selain Salina, Allahyarham turut menghasilkan beberapa karya terkenal termasuk Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan Hujan Pagi.

Artikel Berkaitan:

Solat jenazah Allahyarham dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi Rabu di masjid berkenaan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!