Malaysia pergiat teroka teknologi kuantum, perubatan regeneratif - PM

KUALA LUMPUR - Malaysia mempergiat langkah meneroka bidang teknologi masa hadapan termasuk pembangunan teknologi kuantum dan fasiliti perubatan regeneratif sebagai strategi memperkukuh ketahanan ekonomi negara dalam mendepani ketidaktentuan kewangan serta gangguan rantaian bekalan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tumpuan terhadap pemerkasaan ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) berkenaan menjadi agenda utama dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan beliau hari ini.
"Perancangan strategik ini penting dalam memastikan keupayaan STI negara dimanfaatkan bagi menghasilkan penyelesaian terhadap cabaran ekonomi, termasuk ketidaktentuan kewangan dan gangguan rantaian bekalan global,” katanya menerusi hantaran di laman X hari ini.
Beliau berkata, antara perkara yang dibincangkan ialah usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global (GII) melalui penjajaran indikator STI, pembangunan fasiliti Biofoundry Perubatan Regeneratif Nasional menerusi kerjasama Bioeconomy Development Corporation (BEC) dan BioVerde Technologies Sdn Bhd (BVT) Sarawak serta hala tuju pembangunan teknologi kuantum negara.
"Saya mahu setiap inisiatif ini diberikan perhatian dan dipantau secara berterusan bagi memastikan pelaksanaannya mengikut garis masa yang ditetapkan sekali gus membawa manfaat nyata kepada rakyat dan negara,” katanya.
Mesyuarat MSN berfungsi sebagai platform tertinggi peringkat nasional dalam menyelaras hala tuju dasar STI merentas kementerian dan agensi sejajar dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
