ASEAN gariskan lapan inisiatif strategik perkukuh industri mineral

KUALA LUMPUR - ASEAN mempergiat kerjasama serantau dalam sektor mineral kritikal menerusi lapan inisiatif strategik bagi merancakkan pelaburan, mempercepat pembangunan industri hiliran serta memperkukuh rantaian bekalan berdaya tahan susulan peningkatan permintaan global.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, inisiatif tersebut akan memperkukuh pelaburan bertanggungjawab, integrasi rantaian nilai serta pembangunan mampan, sekali gus meletakkan ASEAN sebagai pemain utama dalam industri mineral kritikal global.
"ASEAN perlu beralih daripada sekadar menjadi pembekal bahan mentah kepada pelaksanaan aktiviti bernilai tambah tinggi berikutan peningkatan permintaan global terhadap mineral yang digunakan dalam sektor tenaga hijau dan teknologi termaju.
"Bagi mencapai matlamat ini, kita perlu melangkaui peranan sebagai pembekal bahan mentah semata-mata dengan beralih kepada aktiviti bernilai tambah tinggi, termasuk pemprosesan mineral di peringkat pertengahan rantaian nilai, pembuatan termaju, inovasi teknologi terkini serta amalan ekonomi kitaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian bersama Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Mineral (AMMin) Ke-11 dan Forum Pelaburan Mineral ASEAN (AMVest) 2026, di sini pada Selasa.
Lapan inisiatif tersebut turut merangkumi antaranya penetapan definisi bersama dan penyediaan senarai serantau yang mengandungi 30 mineral kritikal sebagai panduan dalam merangka Strategi dan Pelan Hala Tuju Pelaksanaan Mineral Kritikal ASEAN.
Inisiatif lain meliputi pengukuhan kerjasama institusi, penyediaan garis panduan pembangunan mineral mampan serta rangka kerja pemantauan bagi Pelan Tindakan Kerjasama Mineral ASEAN (AMCAP-IV) 2026-2030.
Selain itu Pelan Kerjasama Mineral ASEAN Campur Tiga 2026-2031 yang memperkukuh kerjasama dengan China, Jepun dan Korea Selatan dalam aspek pembangunan mampan, pelaburan, pemindahan teknologi serta perindustrian hiliran.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, AMVest juga akan dijadikan platform tahunan rasmi ASEAN yang menghubungkan kerajaan, pelabur dan peneraju industri.
"ASEAN perlu memberi tumpuan kepada usaha menggerakkan pelaburan dalam projek berdaya maju dan layak memperoleh pembiayaan, mempercepat perindustrian hiliran serta memperkukuh penyelarasan dasar serantau, piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta rangka kerja pelaburan yang telus.
"Kerjasama serantau amat penting bagi memenuhi keperluan modal dan teknologi yang besar dalam sektor mineral, selain menterjemahkan komitmen dasar kepada hasil yang nyata," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

