‘Salina’ warisan abadi A Samad Said, angkat nasib golongan terpinggir - Anwar

Anwar (kiri) beramah mesra dengan A Samad Said (kanan) ketika hadir pada Malam Langkahan Wira di Dewan Bahasa dan Pustaka pada Mei 2024. Foto: Bernama
Anwar (kiri) beramah mesra dengan A Samad Said (kanan) ketika hadir pada Malam Langkahan Wira di Dewan Bahasa dan Pustaka pada Mei 2024. Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Sumbangan Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said dalam mengangkat nasib golongan terpinggir menerusi karya sastera, khususnya novel Salina akan terus dikenang dan menjadi warisan penting dalam dunia kesusasteraan tanah air.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, karya agung yang diterbitkan pada 1961 itu bukan sekadar mengetengahkan kisah kehidupan masyarakat terpinggir, malah mengajak pembaca memahami penderitaan dan memperjuangkan harapan golongan berkenaan.

Beliau berkata, keprihatinan Allahyarham terhadap nasib rakyat turut terserlah menerusi karya-karyanya, selain keteguhan beliau dalam mempertahankan martabat bahasa Melayu serta memperjuangkan keadilan.

 Novel Salina akan terus dikenang dan menjadi warisan penting dalam dunia kesusasteraan tanah air.
Novel Salina akan terus dikenang dan menjadi warisan penting dalam dunia kesusasteraan tanah air.

"Lewat ‘Salina’ (1961), Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih, agar kita turut menggarap duka dan memperjuang harapan mereka.

"Kasihnya kepada rakyat akan terus hidup dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan," katanya menerusi hantaran di platform media sosial pada Selasa.

Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said meninggal dunia pada jam 6.10 petang Selasa.
Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said meninggal dunia pada jam 6.10 petang Selasa.

Artikel Berkaitan:

Anwar turut menzahirkan rasa hiba dan sayu atas pemergian tokoh sastera berkenaan.

Beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, segala dosanya diampunkan serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Pada masa sama, beliau berharap keluarga Allahyarham diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!