Pengarah Muzium Louvre kemuka peletakan jawatan susulan kes rompakan

PARIS - Pengarah Muzium Louvre, Laurence des Cars mengesahkan pada Rabu bahawa beliau mengemukakan peletakan jawatan susulan insiden rompakan yang berlaku di muzium terkenal itu di Paris, lapor agensi berita Jerman dpa.
Namun, peletakan jawatan itu ditolak oleh Menteri Kebudayaan Perancis, Rachida Dati kata des Cars ketika memberi keterangan di Senat Perancis berhubung kejadian.
Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat selepas menilai kesan daripada insiden terbabit dalam perbincangan bersama Dati dan Menteri Dalam Negeri Laurent Nuñez pada Ahad lalu.
Pengarah muzium terbesar di dunia itu turut menegaskan bahawa sepanjang kerjayanya, beliau tidak pernah menganggap seseorang memiliki kedudukannya secara mutlak.
"Itulah prinsip kehidupan profesional yang saya berpegang teguh untuk patuhi,” katanya.
Kenyataan itu dibuat tiga hari selepas kejadian rompakan di Muzium Louvre, ketika permata dianggarkan bernilai €88 juta (AS$102 juta) dilaporkan dicuri.
Pihak berkuasa kini giat mengesan pelaku serta barang kemas yang hilang.
Muzium itu dibuka semula pada Rabu pagi selepas ditutup sepenuhnya berikutan kejadian itu.
Bagaimanapun, Galeri Apollo yang menjadi lokasi rompakan masih ditutup buat sementara waktu, lapor stesen penyiaran France Info. - Bernama
Ringkasan AI
- Pengarah Muzium Louvre, Laurence des Cars, mengesahkan beliau mengemukakan peletakan jawatan atas insiden rompakan
- Perletakan jawatan ditolak oleh Menteri Kebudayaan Perancis, Rachida Dati
- Keputusan dibuat selepas perbincangan dengan Dati dan Menteri Dalam Negeri Laurent Nuñez
- Kenyataan dibuat tiga hari selepas rompakan di Muzium Louvre dengan permata bernilai €88 juta dicuri
- Muzium dibuka semula tetapi Galeri Apollo, lokasi rompakan, masih ditutup sementara waktu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
