100,000 penduduk Palestin solat di Al-Aqsa Jumaat Ramadan

Umat Islam Palestin berkumpul menunaikan solat Jumaat dalam bulan suci Ramadan di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis.- Foto Agensi
Umat Islam Palestin berkumpul menunaikan solat Jumaat dalam bulan suci Ramadan di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis.- Foto Agensi
A
A
A

BAITULMAQDIS– Sekitar 100,000 warga Palestin menunaikan solat Jumaat secara berjemaah di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis bagi kali kedua sepanjang bulan suci Ramadan, walaupun menghadapi sekatan ketat oleh pihak berkuasa Israel, menurut pegawai rasmi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Agama Palestin, Sheikh Azzam al-Khatib memberitahu Anadolu, bahawa kira-kira 100,000 Muslim hadir menunaikan solat di kawasan Al-Aqsa.

Seorang wartawan Anadolu melaporkan, penempatan ramai anggota polis Israel di pintu masuk Kota Lama Baitulmaqdis, kawasan sekitarnya, lorong-lorong dan pintu luar Masjid Al-Aqsa.

Umat Islam mula tiba di masjid sebelum subuh meskipun terdapat kawalan keselamatan yang ketat.

Pihak berkuasa Israel menghalang puluhan ribu penduduk Palestin dari Tebing Barat yang diduduki untuk memasuki Baitulmaqdis bagi menunaikan solat dan mengenakan sekatan ketat di pos kawalan tentera sekitar bandar.

Polis Israel berkata, mereka menempatkan ribuan pegawai di seluruh Baitulmaqdis Timur, manakala tentera menghantar pengukuhan besar ke pos kawalan Tebing Barat untuk mengehadkan akses ke masjid.

Sejak awal Jumaat, ribuan Palestin berkumpul di pos kawalan tentera Qalandia, utara Baitulmaqdis untuk cuba memasuki bandar bagi menunaikan solat.

Prosedur ketat menghalang ramai daripada melintas dengan tentera menyatakan mereka gagal memenuhi syarat yang ditetapkan, menurut jemaah yang tiba awal tetapi dihalang.

Pada permulaan Ramadan, Israel meluluskan pelan mengehadkan kemasukan hanya 10,000 warga Palestin untuk solat Jumaat sepanjang bulan suci, berdasarkan cadangan keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu, kira-kira 80,000 Palestin menunaikan solat Jumaat pertama Ramadan di Al-Aqsa, menurut Jabatan Waqaf Islam.

Kehadiran kini masih lebih rendah berbanding Jumaat Ramadan sebelum perang, apabila lebih 150,000 orang biasanya hadir.

Secara tradisi, Ramadan menarik ratusan ribu warga Palestin dari Tebing Barat ke Al-Aqsa memenuhi kawasan masjid dan merancakkan aktiviti perdagangan di pasar Baitulmaqdis.

Sejak perang Gaza bermula pada 7 Oktober 2023 dan berlanjutan dua tahun, pihak berkuasa Israel mengenakan sekatan pergerakan ketat di pos kawalan tentera menuju Baitulmaqdis.

Sepanjang dua tahun lalu, Israel hanya membenarkan bilangan terhad penduduk Palestin memasuki bandar selepas mendapat permit tentera, yang ramai mendakwa sukar diperoleh.

Penduduk Palestin melihat Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota negara mereka pada masa depan, manakala Israel menganggap bandar itu, termasuk kedua-dua sektor timur dan barat sebagai ibu kotanya.- Agensi

Ringkasan AI

  • Sekitar 100,000 warga Palestin menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa di bulan Ramadan walaupun ada sekatan Israel
  • Ketua Pegawai Eksekutif Kementerian Waqaf Palestin mengesahkan kehadiran kira-kira 100,000 Muslim
  • Polis Israel ditempatkan di sekitar Kota Lama Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa untuk kawalan keselamatan
  • Penduduk Palestin dari Tebing Barat dihalang memasuki Baitulmaqdis dengan sekatan ketat di pos kawalan
  • Israel hanya meluluskan kemasukan 10,000 warga Palestin untuk solat Jumaat sepanjang Ramadan berdasarkan keselamatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!