Tiga senario keputusan di CAS

TUMPUAN peminat bola sepak tanah air dan antarabangsa kini terarah kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Khamis ini (esok) yang bakal menjadi penentu kemelut dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Keputusan tersebut amat penting, terutama untuk memulihkan maruah Harimau Malaya serta FAM yang sebelum ini berdepan tekanan dan kritikan pelbagai pihak.
Namun, sekiranya tewas, ia akan menjadi satu detik yang cukup memalukan dan memerlukan perhatian serius buat bola sepak negara.
Tiada siapa yang dapat melihat dengan jelas apakah keputusan di CAS nanti, namun terdapat beberapa kemungkinan yang boleh berlaku pada Khamis ini.
Kemungkinan pertama: Pemain terlepas, FAM berdepan risiko
Naratif yang berlegar mendakwa tujuh pemain terbabit iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel mungkin terlepas daripada sebarang hukuman atas alasan mereka tidak mengetahui status sebenar dokumen yang diuruskan.
Dalam struktur undang-undang sukan antarabangsa, penghakiman di CAS lazimnya berpaksi kepada dua asas utama, iaitu tanggungjawab individu dan peranan badan induk.
Sekiranya terbukti kumpulan pemain ini tidak tahu-menahu, bergantung sepenuhnya kepada ejen atau pegawai serta tidak terlibat secara langsung dalam penyediaan dokumen, hukuman berpotensi diketepikan.
Jika wujud kepincangan, ia lazimnya ditafsir sebagai kegagalan pengurusan persatuan. Dalam konteks ini, beban lebih berat menanti FAM sekiranya gagal membela diri dan didapati bersalah.
Berpandukan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), persatuan seperti FAM memegang tanggungjawab penuh dalam memastikan setiap pendaftaran menepati syarat kelayakan.
Walaupun tanpa bukti wujudnya niat menipu, kecuaian dalam proses semakan sudah memadai untuk mensabitkan kesalahan pelanggaran tadbir urus.
Apa akan jadi jika tujuh pemain warisan dan FAM tewas?
Kemungkinan kedua, andai keputusan CAS langsung tidak memihak kepada Malaysia, implikasi sememangnya amat besar.
Hukuman penggantungan atau pembatalan kelayakan pemain boleh dikuatkuasakan serta-merta selain FAM terpaksa menanggung denda kewangan yang mungkin meningkat oleh FIFA.
Di pentas antarabangsa, imej Harimau Malaya pasti tercalar dan proses memulihkan reputasi bukan sesuatu yang akan berjaya dalam tempoh singkat.
Ada peluang Malaysia menang?
Untuk memperkatakan peluang FAM menang sepenuhnya bukanlah sesuatu yang mudah. Realitinya, peluang itu mencabar, namun tetap ada bergantung kepada kekuatan hujah pasukan perundangan.
Berdasarkan kenyataan FAM serta proses rayuan di FIFA sebelum ini, badan induk itu secara tidak langsung mengakui terdapat kesilapan dalam proses penghantaran dokumen yang memberi implikasi dalam pertimbangan panel.
Namun, sekiranya FAM dan kumpulan pemain ini berjaya membuktikan tiada pencabulan undang-undang,keputusan mungkin berpihak kepada Malaysia.
Kelayakan kembali disahkan dan rekod pertandingan kekal bersih. Kemenangan itu mampu memulihkan reputasi FAM di mata dunia serta mengembalikan keyakinan peminat.
*Muhammad Zakwan Nazaraly ialah wartawan Sukan Sinar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
