PN desak kerajaan tangani segera gangguan berulang LRT Laluan Kelana Jaya

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengambil langkah kritikal dan menyeluruh bagi menangani gangguan teknikal berulang membabitkan LRT Laluan Kelana Jaya yang didakwa semakin menjejaskan keyakinan pengguna terhadap sistem pengangkutan awam negara.
Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional (PN), Khairil Nizam Khirudin berkata, gangguan berulang itu bukan lagi isu terpencil, sebaliknya memberi kesan langsung terhadap mobiliti tenaga kerja, pelajar serta kelangsungan aktiviti ekonomi di Lembah Klang.
Menurut beliau, laluan sepanjang hampir 46 kilometer yang merangkumi 37 stesen itu antara jajaran rel bandar paling kritikal dengan kapasiti pergerakan ratusan ribu penumpang setiap hari bekerja.
“Sebarang gangguan pada laluan ini bukan insiden kecil. Ia memberi kesan langsung kepada aliran pergerakan rakyat dan produktiviti bandar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Khairil Nizam berkata, kegagalan menangani isu itu secara tuntas akan menyebabkan lebih ramai pengguna beralih kepada kenderaan persendirian, sekali gus meningkatkan kesesakan lalu lintas terutama di laluan utama menuju pusat bandar dan kawasan perumahan.
Sehubungan itu, PN mengemukakan beberapa cadangan yang disifatkan sebagai kritikal dan realistik untuk dilaksanakan segera oleh kerajaan.
Antaranya peruntukan dana khas bagi tujuan menaik taraf infrastruktur, sistem kawalan serta komponen utama yang dikenal pasti sering mengalami kerosakan.
"Ini termasuk memastikan sistem yang usang dikemaskini dan standard kualiti operasi dipertingkatkan," jelas beliau.
Menurut Khairil Nizam, sistem yang usang perlu dikemas kini dengan segera dan standard operasi mesti dipertingkat bagi mengelakkan insiden sama berulang.
Selain itu, beliau menggesa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan teknikal tersebut.
Katanya, siasatan perlu meliputi aspek penyelenggaraan, pengurusan sistem serta sebarang kelemahan operasi yang mungkin menyumbang kepada masalah berulang itu.
“Jika hasil siasatan mendapati berlaku kegagalan penyelenggaraan walaupun peruntukan telah disalurkan, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab,” tegasnya.
Tambah beliau, tindakan itu boleh merangkumi langkah tatatertib, semakan semula kontrak atau penalti setimpal selaras peraturan berkuat kuasa.
Dalam masa sama, PN turut menggesa kerajaan membentangkan pelan pemulihan jangka panjang termasuk penambahan gerabak, peningkatan kekerapan perkhidmatan serta pengukuhan sistem sokongan teknikal.
Beliau berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan perkhidmatan rel bandar lebih efisien, menepati jadual dan selamat kepada pengguna.
“Pengangkutan awam berkualiti tinggi bukan satu pilihan, sebaliknya keperluan asas rakyat. Gangguan berulang yang menjejaskan perjalanan harian serta menambah kesesakan jalan raya hanya akan menghakis kepercayaan terhadap sistem sedia ada,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dilaporkan mengalami gangguan sekali lagi pada pagi Selasa sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa di kebanyakan stesen.
Tinjauan di media sosial mendapati, orang ramai terpaksa bersesak di Stesen Sri Rampai, Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC dan beberapa stesen lain.
Ringkasan AI
- Kerajaan digesa mengatasi gangguan teknikal LRT Laluan Kelana Jaya untuk mengembalikan keyakinan pengguna
- Gangguan itu berdampak kepada mobiliti tenaga kerja, pelajar dan aktiviti ekonomi di Lembah Klang
- Laluan sepanjang hampir 46 kilometer ini kritikal dengan kapasiti pergerakan ratusan ribu penumpang setiap hari
- Kegagalan mengatasi masalah boleh mendorong pengguna beralih ke kenderaan persendirian, meningkatkan kesesakan lalu lintas
- Cadangan termasuk peruntukan dana khas untuk menaik taraf infrastruktur dan memperbaharui sistem yang usang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

