CAP gesa kerajaan tangani isu kecacatan tadbir urus

Mohideen
Mohideen
A
A
A

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menangani isu kecacatan tadbir urus yang dilihat semakin menjejaskan kehidupan harian rakyat dan kualiti perkhidmatan awam negara.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, insiden terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti kebocoran bumbung dan kerosakan berterusan pada sistem aerotrain bukan sekadar masalah operasi tetapi mencerminkan kegagalan sistemik dalam tadbir urus negara.

Mohideen turut menyifatkan keadaan itu sebagai penyakit yang perlu dikenali dan ditangani segera.

"Lapangan terbang yang dipenuhi air hanya sebahagian kecil daripada masalah sebenar.

"Ada lagi masalah lain antaranya jalan mempunyai tol baharu yang menyebabkan kesesakan, sempadan imigresen longgar, penculikan berlaku secara terang-terangan pada siang hari, gangguan bekalan air kronik dan keganasan di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohideen menambah, kecacatan tadbir urus turut dirasai rakyat di perumahan awam dengan isu seperti beg sampah yang dibuang merata dan kenderaan dihalang sewenang-wenangnya, menyukarkan laluan warga tua dan orang kurang upaya.

"Masalah ini mudah diselesaikan tetapi pegawai kerajaan terperangkap dalam birokrasi yang rumit, menyebabkan penguatkuasaan peraturan asas gagal dijalankan secara konsisten.

"Kecacatan tadbir urus juga berpunca daripada kekurangan akauntabiliti. Contoh terbaharu adalah sebuah sekolah yang menerima bantuan kewangan daripada bank untuk membaik pulih tandas.

"Walaupun masalah itu dikenal pasti oleh pelajar, pemasangan pintu baru gagal dilaksanakan kerana pejabat pendidikan tempatan dan guru besar tidak dapat menyelaras proses dalaman mereka. Ia disifatkan sebagai kegagalan sistemik yang melampaui birokrasi biasa," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, masalah ini timbul kerana pertumbuhan ekonomi negara tidak disertai perkembangan institusi.

"Sejak merdeka, populasi Malaysia meningkat lebih lima kali ganda, dengan hampir 80 peratus tinggal di bandar tetapi struktur tadbir urus masih statik dan tidak menepati keperluan abad ke-21.

"Cabaran rakyat kini bukan lagi sekadar isu kesihatan atau buta huruf tetapi berkaitan kualiti hidup, inovasi, perkhidmatan bertaraf dunia dan keluarga bahagia serta sihat, selaras dengan matlamat rangka kerja Madani.

"Namun anakronisme dalam sistem menyebabkan isu seperti reformasi pendidikan berlarutan tanpa menghasilkan graduan yang berdaya saing manakala perkara asas seperti penyelenggaraan sekolah gagal diurus," katanya.

Mohideen menegaskan kegagalan berterusan menyampaikan perkhidmatan asas telah menimbulkan sinisme awam, melemahkan kepercayaan rakyat dan menjadi punca kepada rasuah serta tingkah laku menyeleweng.

"CAP memohon kerajaan agar melaksanakan pembaikan sistemik secara menyeluruh, merombak peranan sektor awam, swasta dan masyarakat sivil serta memperkukuh akauntabiliti dan fokus pada hasil.

“Kebocoran air di lapangan terbang mungkin telah pulih, tetapi gelombang kekecewaan rakyat semakin meningkat. Kita mesti bertindak sebelum kita semua tenggelam,” katanya.

Ringkasan AI

  • Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa kerajaan menangani kecacatan tadbir urus
  • Mohideen menyatakan insiden di KLIA mencerminkan kegagalan sistemik dalam tadbir urus
  • Kecacatan tadbir urus turut memberi kesan pada kehidupan harian rakyat termasuk di perumahan awam
  • Masalah berpunca daripada kekurangan akauntabiliti dan pertumbuhan ekonomi yang tidak diikuti perkembangan institusi
  • CAP mendesak kerajaan melaksanakan pembaikan sistemik secara menyeluruh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!