Kajian semula persempadanan pilihan raya dilaksana selepas tamat tempoh lapan tahun - Azalina

KUALA LUMPUR- Kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri dilaksanakan selepas tamat tempoh lapan tahun selepas selesainya urusan kajian terakhir atau sekiranya berlaku pindaan undang-undang melibatkan komposisi keanggotaan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu selaras dengan Perkara 113(2), Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam hal ini, lat tempoh lapan tahun bagi urusan kajian semula persempadanan Negeri Sarawak telah berakhir pada 21 Ogos 2023.
"Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kini berada dalam proses penyediaan syor-syor kajian semula persempadanan bagi negeri tersebut sebelum melaksanakan proses seterusnya sebagaimana yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
"Kajian ini akan mengambil kira pertambahan 17 kerusi DUN sebagaimana yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 7 Julai 2025 dan dikuatkuasakan pada 8 Ogos 2025," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai status terkini pelaksanaan urusan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta jangkaan semua urusan itu dilengkapkan.
Azalina berkata, bagi Sabah, tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan telah berakhir pada 21 Februari 2025.
Ujarnya, pada masa ini SPR masih belum memutuskan untuk memulakan urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya di negeri tersebut memandangkan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 baru sahaja selesai.
"Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu, lat tempoh kajian semula persempadanan terdahulu akan berakhir pada 9 Mac depan (2026).
"Sebarang keputusan bagi pelaksanaan urusan kajian persempadanan semula hanya akan ditentukan SPR selepas tamatnya lat tempoh itu," katanya.
Ringkasan AI
- Kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya dilakukan setiap lapan tahun atau jika berlaku pindaan perundangan
- Menteri berkaitan menyatakan proses ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan
- Lat tempoh lapan tahun untuk kajian semula di Sarawak sudah berakhir pada 21 Ogos 2023
- Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia sedang menyediakan syor-syor untuk kajian semula persempadanan di Sarawak
- Tempoh untuk Semenanjung dan Sabah berakhir pada 9 Mac 2026 dan 21 Februari 2025 secara berasingan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
