Kerja tapak LRT Laluan Mutiara diteruskan pada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina

Kerja projek LRT Laluan Mutiara diteruskan pada Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.
Kerja projek LRT Laluan Mutiara diteruskan pada Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.
A
A
A

GEORGE TOWN - Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara akan memasuki fasa pembinaan lebih agresif bermula Januari 2026 apabila kerja-kerja di tapak disahkan diteruskan sepanjang musim perayaan termasuk Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, tindakan itu dibuat demi memastikan projek berkenaan siap mengikut jadual pada Disember 2031.

Menurutnya, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRTC) yang dilantik kerajaan Persekutuan sebagai pemaju dan pemilik aset projek itu memaklumkan bahawa jadual pembinaan adalah sangat padat.

"MRTC juga memaklumkan bahawa sebarang penangguhan akan menjejaskan sasaran penyiapan serta mencetuskan klausa denda seperti dalam kontrak.

"Menurut pemaju juga, projek LRT Laluan Mutiara telah mencapai pelaksanaan fizikal penting apabila kontraktor Pakej Sivil Utama 1 (CMC1), SRS Consortium Sdn Bhd, menerima Notis Mula Kerja (NTP) pada 15 Julai 2025.

"Kerja di bawah pakej tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2031. Jemaah Menteri sebelum ini turut meluluskan siling bajet projek berjumlah RM16.8 bilion pada Disember 2024," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Selasa.

Zairil (DAP-Tanjung Bungah) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) mengenai perkembangan kerja pembinaan projek LRT Laluan Mutiara termasuk pada Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.

Sementara itu, Zairil berkata, tiga lokasi hotspot dijangka mengalami kesesakan lebih ketara sepanjang tempoh pembinaan iaitu di Jalan Magazine, persimpangan Sunny Point di Batu Uban dan Jalan Sultan Azlan Shah di kawasan Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas.

"Bagi mengurangkan impak terhadap trafik, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mewajibkan penyediaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) terperinci bagi setiap lokasi stesen dari George Town hingga Permatang Damar Laut.

Artikel Berkaitan:

"Pelan berkenaan telah diluluskan pihak berkuasa tempatan pada 14 Oktober 2025 dan kini sedang dilaksanakan secara berperingkat.

"TMP tersebut merangkumi laluan alternatif, pengalihan trafik serta langkah mitigasi yang disemak setiap bulan bagi memastikan keberkesanan dan kesesuaian dengan keadaan semasa. Pelaksanaan penuh pelan pengurusan trafik itu dijangka siap menjelang 2030," ujarnya.

Beliau berkata lagi, MRTC memberi jaminan bahawa TMP musim perayaan akan diatur dengan lebih berhati-hati agar tidak menjejaskan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya berikutan peningkatan jumlah kenderaan pada waktu tersebut.

"Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat trafik terkini melalui laman web projek, media sosial rasmi LRT Mutiara Pulau Pinang serta aplikasi navigasi seperti Waze untuk merancang perjalanan harian," katanya.

Ringkasan AI

  • Projek LRT Laluan Mutiara di George Town akan memasuki fasa pembinaan agresif bermula Januari 2026
  • Projek dijangka siap pada Disember 2031 dengan siling bajet RM16.8 bilion
  • Kerja-kerja pembinaan akan diteruskan sepanjang musim perayaan untuk memenuhi jadual padat
  • Tiga lokasi hotspot dijangka mengalami kesesakan lebih ketara sepanjang tempoh pembinaan
  • MRTC memberi jaminan pengurusan trafik musim perayaan akan diatur untuk mengurangkan kesesakan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!