KRPPM-IGAR cadang libatkan Parlimen dalam pelantikan Pendakwa Raya

Azli (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
Azli (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Integriti, Governan dan Antirasuah (KRPPM-IGAR) menggesa penekanan mekanisme semak dan imbang melibatkan Parlimen bagi memperkukuh Rang Undang-Undang (RUU) berhubung pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Pengerusinya, Azli Yusof berkata, RUU itu perlu memasukkan peruntukan akauntabiliti statutori kepada Parlimen, termasuk kewajipan pelaporan tetap dan semakan bebas terhadap pelaksanaan kuasa pendakwaan.

"Proses pelantikan Pendakwa Raya mesti melibatkan Parlimen, khususnya Dewan Rakyat sebagai mekanisme akauntabiliti institusi.

"Selain itu institusi Parlimen harus dilibatkan dalam kelulusan semakan calon Pendakwa Raya sebagai semak imbang," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Khamis.

Dalam pada itu beliau menegaskan, komposisi Suruhanjaya Kehakiman dan Perkhidmatan Perundangan (SPKP) perlu dirombak bagi memastikan kebebasan sebenar daripada pengaruh eksekutif.

Oleh yang demikian ujarnya, Pendakwa Raya dan Peguam Negara tidak seharusnya menganggotai suruhanjaya itu selain membahagikannya kepada dua badan berasingan iaitu Suruhanjaya Pendakwaan dan Suruhanjaya Kehakiman.

"Berdasarkan isu dan cadangan yang dikemukakan, wujudnya keperluan terhadap mekanisma akauntabiliti bagi memastikan struktur pemisahan kukuh dan memperoleh kepercayaan awam.

"Mana-mana institusi yang memegang kuasa besar penguatkuasaan undang-undang seharusnya tertakluk kepada semakan Parlimen bagi menjamin legitimasi sistem perundangan negara," ujarnya.

Azli berkata, perbincangan ringkas mengenai perkara tersebut telah disampaikan kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen (JPP).

Artikel Berkaitan:

"RUU ini perlu dirujuk secara formal ke JPP di bawah Peraturan Mesyuarat 54 atau 80B supaya peneitian lanjut dapat benar-benar dilaksanakan dengan merujuk pandangan pakar untuk menasihati penambahbaikan kepada RUU berkenaan sebelum diluluskan.

"Cadangan ini selaras dengan prinsip reformasi institusi yang holistik dan pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya hanya akan bermakna sekiranya ia benar-benar memperkukuh kebebasan institusi dengan mekanisme semak imbang yang berkesan," tegasnya.

Ringkasan AI

  • KRPPM-IGAR menggesa penekanan mekanisme semak imbang dalam Parlimen bagi Rang Undang-Undang pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya
  • RUU itu harus termasuk peruntukan akauntabiliti kepada Parlimen dan proses pelantikan Pendakwa Raya yang melibatkan Parlimen
  • Komposisi Suruhanjaya Kehakiman dan Perkhidmatan Perundangan perlu dirombak untuk memastikan kebebasan daripada pengaruh eksekutif
  • Pemisahan kedudukan Pendakwa Raya dan Peguam Negara dari suruhanjaya tersebut dan pembahagiannya kepada dua badan berasingan disarankan
  • Perbincangan mengenai RUU ini telah disampaikan kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi menasihati penambahbaikan sebelum diluluskan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!