Johor sekali lagi desak kerajaan Persekutuan percepat kelulusan ART

ISKANDAR PUTERI - Johor sekali lagi mendesak kerajaan Persekutuan mempercepatkan kelulusan projek pengangkutan rel sebagai persediaan menjelang pengoperasian penuh Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada awal 2027.
Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerajaan negeri terbuka bagi pilihan pengangkutan rel Sistem Aliran Transit Automasi (ART) atau Projek Transit Aliran Ringan (LRT) dilaksanakan selewat-lewatnya awal tahun depan.
Jelas beliau, berdasarkan dapatan dianggarkan seramai 40,000 penumpang RTS bagi setiap empat jam pada tempoh waktu puncak awal pagi dan petang.
"Kerajaan negeri menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor yang menegaskan keperluan mendesak agar projek ini dipercepatkan.
"Cadangan yang dibentangkan melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) adalah ART, dan kosnya jauh lebih rendah berbanding LRT.
"Namun timbul persoalan, mengapa projek LRT di Pulau Pinang telah dimulakan, sedangkan permohonan Johor bagi ART yang lebih murah masih belum diluluskan," katanya
Beliau pada sidang akhbar selepas sesi penggulungan Belanjawan Johor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada Khamis.
Mohd Fazli memberitahu sebahagian jajaran awal bagi ART telah dikenal pasti melalui kajian awal kerajaan negeri bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
Beliau menjelaskan cadangan ART telah memasuki proses tender terbuka untuk penilaian tander dan disyorkan (UKAS) dan telah selesai pada Julai lalu.
"Pada Isnin lalu, permohonan rasmi berkenaan projek ART di bawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan beri komitmen untuk mengangkat perkara ini ke dalam kabinet dalam masa terdekat," katanya.
Pada 14 Mei tahun lalu, Mohd Fazli dilaporkan berkata Johor memilih pembinaan ART di pusat bandar Johor Bahru, membabitkan tiga jajaran dengan jarak lebih 50 kilometer dengan 32 hentian stesen.
Katanya, anggaran kos bagi pembinaan sistem pengangkutan awam itu hampir RM7 bilion .
Jelas beliau, ART dipilih kerana boleh disiapkan dalam tempoh masa lebih pendek berbanding Transit Aliran Ringan (LRT).
Ringkasan AI
- Johor mendesak kelulusan projek pengangkutan rel menjelang pengoperasian penuh Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura pada awal 2027
- Kerajaan negeri terbuka untuk pelaksanaan ART atau LRT selewat-lewatnya awal tahun depan
- Dapatan dianggarkan 40,000 penumpang RTS setiap empat jam pada waktu puncak
- Cadangan ART dibentangkan dengan kos lebih rendah berbanding LRT
- Permohonan rasmi projek ART telah dibawa dalam mesyuarat kabinet dan sedang menunggu kelulusan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

