Barangan dakwah MRM dirampas DBKL dipulangkan, aktiviti diteruskan

Sumber gambar daripada hantaran Facebook Firdaus Wong pada Isnin.
Sumber gambar daripada hantaran Facebook Firdaus Wong pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung memaklumkan satu pertemuan bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin telah diadakan bagi membincangkan isu rampasan barangan aktiviti dakwah jalanan Multiracial Reverted Muslims (MRM) pada Selasa lalu.

Firdaus Wong berkata, perjumpaan tersebut berlangsung hampir 45 minit dan turut menyentuh beberapa perkara lain selain isu MRM.

“Dihubungi oleh pegawai kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin untuk satu pertemuan bagi membincangkan kontroversi reruai MRM yang dirampas DBKL.

“Datuk Azman menzahirkan sokongan kepada usaha dakwah MRM. Banyak juga perkara lain dibincangkan selain isu berkenaan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Firdaus Wong mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang merampas reruai dan bahan aktiviti dakwah jalanan MRM pada hari pertama cuti Tahun Baharu Cina di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Pengasas MRM itu berkata, berdasarkan maklumat diterima, tiada sebarang notis saman atau senarai inventori dikeluarkan ketika proses rampasan dilakukan bagi menyatakan kesalahan serta butiran barangan yang dirampas.

Ujar Firdaus Wong, perbincangan bersama Azman itu mencapai kata sepakat bahawa barangan aktiviti dakwah MRM yang sebelum ini dirampas oleh DBKL akan dipulangkan semula dalam masa terdekat.

“Kesimpulan dari perbincangan? Barangan yang dirampas DBKL akan dipulangkan dan aktiviti MRM diteruskan macam biasa,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pendakwah bebas Firdaus Wong berjumpa Setiausaha Politik Perdana Menteri untuk bincang rampasan barangan MRM
  • Perjumpaan berlangsung hampir 45 minit membahas isu MRM dan lain-lain
  • Azman Abidin menzahirkan sokongan kepada usaha dakwah MRM
  • Barangan aktiviti dakwah jalanan MRM yang dirampas oleh DBKL akan dikembalikan
  • Aktiviti dakwah MRM di Bukit Bintang diizinkan untuk diteruskan seperti biasa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!