Anggota polis cedera dibelasah dua warga Myanmar

KUANTAN - Gara-gara menegur dua warga asing mabuk dan membuat bising di tepi jalan, seorang anggota polis berpangkat koperal cedera dibelasah dalam kejadian di Kampung Pamah Kulat, Raub pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, anggota terbabit cedera dengan bengkak di bahagian kepala dan badan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa ke lokasi selepas menerima aduan daripada penduduk berkenaan kacau ganggu dua lelaki warga Myanmar yang bekerja di sebuah ladang durian itu.
"Anggota terlibat telah menegur suspek yang ketika itu dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan membuat bising dengan memasang pembesar suara yang kuat di tepi jalan.
"Suspek tidak berpuas hati lalu terus memukul mangsa," katanya.
Azry berkata, susulan kejadian, dua suspek berusia 26 dan 30 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

