'Saya tak mampu gantikan ayah mereka, tapi saya akan jaga mereka'

Amirul Faiz bersama dua orang anak birasnya.
Amirul Faiz bersama dua orang anak birasnya.
A
A
A

SHAH ALAM - “Arwah ayah mereka bernama Faiz. Nama saya juga Faiz. Tetapi Faiz yang ini tidak akan pernah mampu menggantikan Faiz yang telah mereka kehilangan."

Demikian kata seorang jurutera aplikasi dari Terengganu, yang sanggup mengambil tanggungjawab menjaga dua daripada empat anak birasnya demi memastikan kehidupan, pendidikan dan masa depan mereka terus terpelihara selepas kehilangan bapa tersayang akibat kanser hati.

Amirul Faiz Abdul Muthalib, 42, berkata, keputusan itu dibuat selepas menyedari kedua-dua anak berkenaan memerlukan penjagaan lebih teratur, termasuk perhatian terhadap pembelajaran, disiplin dan sokongan emosi selepas pemergian bapa mereka, Mohd Faiz Azhar.

“Selepas berbincang, kami merasakan buat sementara waktu lebih baik dua anak-anak ini berada bersama saya di Terengganu supaya kehidupan dan pembelajaran mereka lebih teratur,” kongsinya.

Amirul Faiz berkata, pada awalnya dia hanya membantu sekadar yang termampu selepas pemergian bapa tersebut, namun keperluan anak-anak berkenaan jauh lebih besar.

"Anak-anak memerlukan rutin yang stabil, perhatian terhadap pembelajaran, disiplin dan seseorang yang boleh sentiasa berada bersama mereka.

"Saya boleh menghantar mereka ke sekolah, membantu mereka belajar dan cuba memberikan kehidupan yang sebaik mungkin. Tetapi saya juga perlu menerima bahawa ada satu kehilangan dalam kehidupan mereka yang tidak mampu saya isi," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Gambar kenangan keluarga bersama arwah Mohd Faiz Azhar.
Gambar kenangan keluarga bersama arwah Mohd Faiz Azhar.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Amirul Faiz mengakui hubungannya dengan arwah Faiz bukan sekadar sebagai biras, malah mereka turut bersahabat dan sering berkongsi cerita mengenai pekerjaan, keluarga serta masalah peribadi.

"Hubungan dengan Faiz bukan sekadar sebagai biras, malah kami turut bersahabat dan sering berkongsi cerita mengenai pekerjaan, keluarga serta masalah peribadi.

"Disebabkan latar kehidupannya sejak kecil, arwah bukan seorang yang banyak bergantung kepada keluarga. Rakan-rakan menjadi antara insan yang banyak berada di sisinya ketika susah dan senang," katanya.

Menurut Amirul Faiz, persamaan namanya dengan arwah turut membuatkan dirinya tersentuh ketika menguruskan kedua-dua anak berkenaan, khususnya apabila melihat nama Faiz pada buku sekolah dan keperluan mereka.

“Saya sendiri menjadi sebak nama itu sama dengan nama saya, tetapi saya tahu Faiz yang tercatat pada nama mereka ialah seorang ayah yang pernah mendukung, memeluk dan sangat menyayangi mereka.

“Seorang Faiz telah pergi dengan meninggalkan begitu banyak kasih sayang, dan seorang lagi Faiz yang masih ada ini dapat membantu menjaga apa yang telah ditinggalkannya,” katanya.

Amirul Faiz berkata, keadaan itu membuatkannya berasa bertanggungjawab untuk memastikan anak berkenaan tetap mengenali sosok bapanya apabila meningkat dewasa.

“Saya mahu mereka tahu siapa yang pernah mendukung mereka, membawa mereka bermain, memanjakan mereka dan menyayangi mereka sebelum mereka cukup besar untuk mengingati semuanya sendiri,” tambahnya.

Sementara itu, Amirul faiz turut menjelaskan keadaan ibu kepada anak yang dijaganya perlu meneruskan tugas sebagai guru di Selangor sambil menguruskan dua lagi anaknya yang masih menyusu dan memerlukan perhatian yang sangat dekat.

Menurut Amirul Faiz, keadaan seperti itu memang sukar untuk seorang ibu menguruskan semuanya sendirian.

“Memang sukar untuk seorang ibu menguruskan semuanya sendirian. Anak-anak pula masih kecil dan memerlukan pemantauan dalam soal makan minum, persekolahan, sahsiah serta pembelajaran.

“Ini bukan soal seorang ibu tidak mahu atau tidak mampu menjaga anaknya. Ini tentang sebuah keluarga yang cuba berkongsi beban ketika salah seorang daripada mereka sedang melalui fasa kehidupan yang amat berat,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!