Wanita maut kereta langgar belakang lori di lampu isyarat

KULAI - Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah lori yang berhenti di lampu isyarat di Kilometer 32, Jalan Johor Bahru-Air Hitam di sini, pagi Jumaat.
Wanita tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat platform e-dagang itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Tan Seng Lee berkata, makluman berhubung kemalangan itu diterima pada jam 6.15 pagi.
"Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Honda Jazz dipandu mangsa dari arah Kulai Besar menghala ke Johor Bahru hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah lori yang sedang berhenti di lampu isyarat
"Lori berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 66 tahun dan mengalami cedera ringan," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fatin Mohd Radzi di talian 018-3649199.

Dalam perkembangan berkaitan, satu hantaran di aplikasi Threads yang dipercayai dibuat mangsa sebelum kejadian turut tular di media sosial.
Hantaran itu memaparkan pertanyaan wanita berkenaan kepada pengguna aplikasi mengenai garisan atau urat timbul pada dahinya yang disifatkan kelihatan seperti ulat.
Hantaran itu kemudian mendapat perhatian selepas seorang pengguna membalas dengan dakwaan bahawa keadaan berkenaan dikaitkan sebagai petanda seseorang akan meninggal dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

