RM60,000 lesap dalam pesawat, polis buru suspek warga asing

Polis sedang mengesan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kehilangan wang tunai berjumlah RM60,000 milik seorang lelaki tempatan ketika menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada Khamis.
Polis sedang mengesan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kehilangan wang tunai berjumlah RM60,000 milik seorang lelaki tempatan ketika menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada Khamis.
A
A
A

BALIK PULAU – Polis sedang mengesan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kehilangan wang tunai berjumlah RM60,000 milik seorang lelaki tempatan ketika menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 54 tahun berhubung kejadian itu pada hari sama.

Menurut beliau, mangsa menyedari wang tunai yang disimpan di dalam beg galas miliknya hilang selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

“Mangsa mengesyaki seorang lelaki warga asing yang berada dalam penerbangan sama terlibat dalam kejadian tersebut.

“Siasatan kemudian dijalankan termasuk mendapatkan maklumat berkaitan penumpang penerbangan serta meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti pergerakan individu yang disyaki,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Anuwal berkata, usaha mengesan individu terbabit sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan suspek serta mendapatkan maklumat tambahan berhubung kejadian berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kes terbaharu itu merupakan satu lagi insiden kehilangan atau cubaan mencuri barangan milik penumpang di dalam pesawat yang dilaporkan dalam tempoh terdekat.

“Pada 17 September lalu, Polis Daerah Barat Daya menerima laporan berhubung satu kes cubaan mencuri dalam sebuah pesawat yang tiba di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

“Seorang lelaki warga China berusia 55 tahun yang ditahan dalam kes tersebut telah dituduh di Mahkamah Majistret Balik Pulau pada Jumaat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan memastikan wang tunai serta barangan berharga sentiasa berada dalam keadaan selamat dan di bawah pengawasan ketika menggunakan pengangkutan awam termasuk semasa penerbangan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!