Polis cekup tiga remaja curi tabung masjid

SEGAMAT – Polis menahan tiga remaja lelaki kerana disyaki terlibat dalam kejadian curi tabung surau di Kampung Tanjung Sekawang di sini baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, pihak polis menerima aduan mengenai perkara tersebut daripada pengerusi surau berkenaan pada 3 Oktober lalu.
"Berdasarkan aduan yang diterima tabung surau yang dicuri dianggarkan berisi wang berjumlah RM200.
“Bertindak atas makluman risikan, polis kemudiannya berjaya memberkas ketiga-tiga remaja berusia 13 hingga 15 tahun itu di lokasi berbeza sekitar Segamat.
“Ketika ditahan, polis turut merampas tabung surau yang disyaki dicuri,” katanya.
Tambah Ahmad Zamry, ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif dan dua daripada mereka masih bersekolah.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian boleh dihukum dengan penjara dan hendaklah dikenakan denda atau sebat.
"Kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi tujuan siasatan lanjut.
"Polis akan terus memerangi jenayah dan orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta menyalurkan sebarang maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian hotline 07-9324222 jika berlaku kejadian jenayah," ujarnya.
Ringkasan AI
- Polis menahan tiga remaja lelaki disyaki curi tabung surau di Kampung Tanjung Sekawang, Segamat
- Pengerusi surau membuat aduan kejadian curi pada 3 Oktober
- Tabung surau yang curi dianggarkan berisi wang RM200
- Ketiga-tiga remaja berusia 13 hingga 15 tahun ditahan di lokasi berbeza di Segamat
- Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, hukuman boleh mencapai tujuh tahun penjara, denda, atau kedua-duanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
