Aksi zig-zag, 'cucuk rapat' bawa padah, dua individu ditahan

Individu yang ditahan untuk siasatan kes memandu kereta secara melulu dan berbahaya di ibu negara. Foto JSPT
Individu yang ditahan untuk siasatan kes memandu kereta secara melulu dan berbahaya di ibu negara. Foto JSPT
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan pantas polis berjaya memberkas dua individu selepas tular rakaman video sebuah kereta yang dipandu secara melulu dan berbahaya di ibu negara.

Tangkapan dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman pada Sabtu.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Vios berwarna hitam telah dipandu secara zig-zag, mencucuk rapat kenderaan di hadapan serta menukar haluan secara gopoh tanpa memberi isyarat.

Mohd Zamzuri
Mohd Zamzuri

"Tindakan tersebut boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman telah menjalankan risikan dan berjaya menahan dua warga tempatan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kenderaan terbabit turut dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan lalu lintas sehingga membahayakan keselamatan awam.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah," ujarnya.

 

Ringkasan AI

  • Polis berjaya menahan dua individu yang memandu secara melulu dan berbahaya di Kuala Lumpur
  • Tangkapan dilakukan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman
  • Kenderaan Toyota Vios hitam telah dipandu secara zig-zag dan mencucuk rapat tanpa memberi isyarat
  • Kenderaan dan suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan
  • Kes disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!