Kumpulan gangster edar dadah kecundang

SHAH ALAM - Kumpulan gangster yang terlibat sindiket pengedaran dadah sejak Julai tahun lalu di sekitar Lembah Klang kecundang selepas lima individu termasuk ketuanya diberkas 12 Februari lalu.
Serbuan Op Bena hasil maklumat dan risikan itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama di kawasan perumahan berdekatan Bandar Saujana Putra, Kuala Langat berjaya menahan seorang lelaki dalam Toyota Alphard dengan rampasan 110 bungkusan plastik disyaki berisi dadah methamphetamine seberat kira-kira 114.60 kilogram (kg).
Menurutnya, serbuan kedua di tempat sama turut menahan seorang lelaki dalam kereta Toyota Vios beserta penemuan 22 bungkusan plastik disyaki methamphetamine seberat 22.87 kg.
"Susulan itu, seorang lagi suspek lelaki telah ditahan di bangunan di Jalan Choo Cheng Khay, Kuala Lumpur.
"Pemeriksaan di bawah tangga bangunan itu menemui dua bagasi yang mengandungi pelbagai jenis dadah iaitu 500 katrij disyaki berisi MDMA, empat bungkusan plastik seberat 4.16 kg disyaki methamphetamine, 25 bungkusan heroin (10.18 kg), sebungkus ganja (542 gram), sebungkus ekstasi (344 gram) serta 1,060 aluminium foil berisi pil disyaki eramin 5," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Khamis.

Tambahnya, dua lagi suspek termasuk seorang wanita pula ditahan dalam sebuah kereta jenis Mercedes Benz di Petaling Jaya.
Katanya, nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM8.4 juta.
Katanya lagi, suspek pertama dan kedua berperanan sebagai runner, manakala suspek ketiga ialah ahli sindiket.
"Suspek keempat pula berperanan sebagai ketua sindiket dan suspek kelima merupakan kekasihnya," ujarnya.
Menurut Hussein, modus operandi sindiket ialah menyembunyikan dadah di dalam kenderaan yang ditinggalkan di lokasi ditetapkan sebelum pembeli hadir mengambil bekalan terbabit.
Dedah beliau, siasatan mendapati kumpulan ini pernah disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selain kes bunuh, khianat dengan api, mendatangkan cedera parah serta ugutan.
"Mereka terlibat dalam gangsterisme di sekitar Lembah Klang khususnya daerah Klang. Mengenai nama kumpulan ini, itu masih dalam siasatan polis," ujarnya.
Ujarnya, semakan mendapati empat suspek lelaki memiliki rekod jenayah dan seorang daripadanya turut mempunyai rekod kes narkotik.
Tegas beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selain tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai sitaan berjumlah RM500,000 membabitkan tiga kereta jenis Mercedes Benz, BMW 320i, Toyota Yaris selain barang kemas, dua utas jam tangan serta wang tunai RM5,800," ujarnya.
Ringkasan AI
- Kumpulan gangster sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang tumpas dengan lima individu termasuk ketuanya ditangkap
- Serbuan berjaya merampas dadah bernilai RM8.4 juta
- Rampasan dadah termasuk methamphetamine, MDMA, heroin, ganja, ekstasi, dan pil eramin 5
- Modus operandi sindiket menyembunyikan dadah di dalam kenderaan
- Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya dengan sitaan termasuk tiga kereta mewah, barang kemas dan wang tunai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
