Kilang haram diserbu, 47,000 kg baja dirampas

47,000 kg baja sebatian dan kimia dirampas dalam serbuan pada Isnin.
47,000 kg baja sebatian dan kimia dirampas dalam serbuan pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN – Polis merampas kira-kira 47,000 kilogram baja sebatian dan kimia bernilai RM771,000 dalam serbuan ke atas sebuah kilang haram di Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU) menerusi Op Taring Bravo 3, pada Isnin.

Operasi khas itu dijalankan Polis Diraja Malaysia melalui Cawangan Risik Ibupejabat Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Ibupejabat Polis Daerah SPU, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang serta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Komander Briged Utara PGA, M Balveer Singh berkata, dalam serbuan tersebut, polis menahan lima lelaki terdiri daripada tiga warga tempatan serta masing-masing seorang warga Indonesia dan Myanmar yang dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses baja secara haram tanpa kelulusan pihak berkuasa.

"Pemeriksaan di kilang berkenaan menemukan sejumlah besar baja yang sedang diproses selain pelbagai mesin dan jentera yang digunakan untuk aktiviti pemprosesan.

"Kesemua tangkapan dan rampasan dibuat di sebuah kilang di kawasan Tasek Gelugor dan siasatan awal mendapati premis haram itu telah beroperasi sejak kira-kira enam tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah mendapatkan baja sebatian dan kimia bersubsidi secara tidak sah sebelum diproses semula dengan campuran bahan lain bagi meningkatkan kuantiti.

"Baja tersebut kemudian dibungkus semula menggunakan bungkusan berbeza sebelum dijual di pasaran untuk kegunaan tanaman.

"Antara yang dirampas ialah pelbagai mesin dan jentera memproses baja serta sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengangkutan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

47,000 kg baja sebatian dan kimia dirampas dalam serbuan pada Isnin.
47,000 kg baja sebatian dan kimia dirampas dalam serbuan pada Isnin.

Beliau menambah, kes diserahkan kepada KPDN Pulau Pinang dan pemilik kilang disiasat mengikut Seksyen 21(1) Akta Bekalan Kawalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

"Dua pekerja warga asing turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

"Pemilik kilang juga disiasat mengikut Seksyen 55B akta sama kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin," katanya.

Selain itu katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis heroin dan mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pemilik premis turut dikenakan kompaun oleh MPSP kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah mengikut Undang-undang Kecil Bayaran Lesen 1980.

"Kita akan terus mempergiatkan pengawasan dan rondaan di Perak, Pulau Pinang, Kedah serta Perlis bagi mengekang aktiviti menyalahi undang-undang," katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

 

Ringkasan AI

  • Polis merampas kira-kira 47,000 kilogram baja sebatian dan kimia bernilai RM771,000 dalam serbuan ke atas sebuah kilang haram di Tasek Gelugor
  • Serbuan itu merupakan bagian dari Op Taring Bravo 3 yang dilakukan bersama dengan KPDN Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai
  • Lima lelaki termasuk warga tempatan dan warga asing dari Indonesia dan Myanmar ditahan kerana terlibat dalam pemprosesan baja secara haram
  • Kegiatan kilang haram tersebut telah beroperasi sejak enam tahun lalu dimana baja sebatian dan kimia bersubsidi diproses semula dan dibungkus untuk dijual di pasaran
  • Pemilik kilang disiasat mengikut Akta Bekalan Kawalan 1961, dua pekerja warga asing disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, dan suspek juga disiasat atas penyalahgunaan dadah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!