Tiga warga Vietnam didenda RM128.9 juta, penjara 65 tahun

Tertuduh diiringi pegawai Perhilitan keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman pada Khamis.
Tertuduh diiringi pegawai Perhilitan keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Tiga warga Vietnam termasuk seorang wanita bersama adik lelakinya didenda RM128.9 juta dan dipenjara 65 tahun selepas disabitkan bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 15 pertuduhan menyimpan hampir 1,000 bahagian hidupan liar dilindungi tanpa permit, kira-kira tiga tahun lalu.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan semua hukuman penjara antara 15 bulan hingga 12 tahun ke atas tertuduh, Bui Thi Ngan, 55, dan adik lelakinya, Bui Van Noi, 48, serta rakan mereka, Bui Van Anh, 37, berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada November 2023.

Semua tertuduh juga berdepan hukuman penjara tambahan lebih lapan tahun sekiranya gagal menjelaskan denda yang diputuskan Hakim Maimoonah Aid.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dihadapi tiga tertuduh itu, mereka didakwa menyimpan hampir 1,000 bahagian hidupan liar dilindungi termasuk 67 bahagian babi hutan, 59 duri landak raya, empat bahagian kijang, tiga gigi gajah Asia, tiga bahagian daging babi bodoh dan tiga bahagian serigala.

Tertuduh wanita warga Vietnam diiringi pegawai Perhilitan keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman pada Khamis.
Tertuduh wanita warga Vietnam diiringi pegawai Perhilitan keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman pada Khamis.

Mereka juga didakwa menyimpan 56 bahagian harimau belang, 493 bahagian beruang matahari, 276 bahagian harimau kumbang, 20 bahagian harimau dahan, satu kepala kambing gurun, lapan bahagian kucing tulap dan satu bahagian ular sawa.

Semua kesalahan itu dilakukan secara bersama di sebuah premis kediaman di Jalan Sungai Lembing, Kampung Sungai Charu, Panching, di sini pada 15 November 2023.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukkan denda tidak kurang RM150,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagian atau terbitan hidupan liar itu serta penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun.

Artikel Berkaitan:

Mereka juga didakwa di bawah Seksyen 60(1)(b) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Amanina Mohamad Anuar.

Tertuduh diiringi pegawai Perhilitan keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman pada Khamis.
Tertuduh diiringi pegawai Perhilitan keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman pada Khamis.

Sebelum itu, peguam, Datuk Zaharman Zainal Abidin yang mewakili ketiga-tiga tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara dan denda minimum terhadap anak guamnya.

Menurutnya, tertuduh pertama, Bui Thi Ngan, sebelum ini bekerja sebagai pengemas bilik dengan pendapatan hanya RM2,000 untuk menyara keluarga di negara asal.

"Bui Van Noi bekerja sebagai pemandu manakala Bui Van Anh sebagai juruelektrik dengan pendapatan RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

"Tertuduh tiada rekod lampau selain masuk ke negara ini secara sah.

"Mereka ditahan reman sejak November 2023 dan sepanjang tempoh itu telah memberi kerjasama yang baik selain insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang," katanya.

Bagaimanapun, Amanina memohon satu hukuman berat dengan mengambil kira faktor pemberat yang dikemukakan termasuk kepentingan awam, kesalahan yang dilakukan serius serta kepentingan hidupan liar yang dilindungi.

"Selain itu, kes ini telah menjalani perbicaraan penuh dengan 10 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan," katanya.

Ringkasan AI

  • Tiga warga Vietnam didenda RM128.9 juta dan dipenjara 65 tahun kerana menyimpan hampir 1,000 bahagian haiwan liar dilindungi
  • Hukuman penjara antara 15 bulan hingga 12 tahun untuk setiap tertuduh dijalankan serentak bermula dari tarikh tangkap, November 2023
  • Tertuduh berdepan hukuman penjara tambahan lebih lapan tahun jika gagal menjelaskan denda
  • Kesalahan dilakukan di sebuah premis kediaman di Jalan Sungai Lembing, Panching pada 15 November 2023
  • Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 60(1)(b) yang membawa hukuman denda dan penjara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!