Pemergian Tun Abdul Hamid kehilangan besar buat institusi kehakiman

PUTRAJAYA – Pemergian bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang kembali ke rahmatullah pada Khamis merupakan satu kehilangan besar buat seluruh warga kehakiman.
Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, Badan Kehakiman Malaysia merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham pada hari pertama Ramadan tahun ini.
Beliau mewakili Badan Kehakiman menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan tersebut.
“Allahyarham memberi sumbangan besar kepada institusi kehakiman sepanjang perkhidmatannya selaku Ketua Hakim Negara bermula 1 November 2007 hingga 17 Oktober 2008.
“Sesungguhnya kepulangannya ke rahmatullah merupakan satu kehilangan besar buat warga kehakiman khasnya dan negara amnya,” katanya dalam satu kenyataan media Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Khamis.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Allahyarham meninggal dunia pada usia 84 tahun di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.
Perkara itu disahkan keluarga Allahyarham dan proses pengebumian dijangka dilaksanakan selepas solat Asar.
Allahyarham dikenali atas sumbangannya dalam memperkukuh integriti serta tadbir urus badan kehakiman negara sepanjang kerjaya perundangannya.
Beliau dilahirkan pada 18 April 1942 di Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Ringkasan AI
- Pemergian Tun Abdul Hamid Mohamad, bekas Ketua Hakim Negara merupakan kehilangan besar bagi warga kehakiman
- Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, merakamkan ucapan takziah di atas pemergian pada Ramadan tahun ini
- Allahyarham sumbang besar kepada institusi kehakiman dari 1 November 2007 hingga 17 Oktober 2008
- Allahyarham meninggal dunia pada usia 84 tahun di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia
- Beliau dikenali atas sumbangannya dalam memperkukuh integriti badan kehakiman negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

